mutakhir

Bekalan 10,000 penagih dadah

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin

Johor Bahru: Penahanan seorang pengedar dadah di sebuah rumah di Taman Desa Baiduri, Kulai dekat sini, Isnin lalu membawa kepada penemuan 9,600 pil Ecstasy dan 2.98 gram syabu, cukup untuk digunakan 10,000 penagih dadah bernilai RM480,000.

Suspek yang berusia 40 tahun ditahan jam 4 petang oleh anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Pemangku Ketua Polis Johor Datuk Ramli Hassan berkata, dadah itu ditemui disimpan di dalam rumah serta kereta Toyota Altis suspek.

“Hasil siasatan mendapati bekalan dadah itu untuk edaran di pasaran tempatan. Kami menyita Toyota Altis milik suspek bernilai RM70,000.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah manakala semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah. Dia kini direman bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan berasingan, Ramli berkata, sejak awal bulan ini, pihaknya melakukan 100 serbuan di sekitar negeri ini serta menahan 351 individu bagi membanteras judi dalam talian.

“Serbuan dijalankan ke atas pelbagai premis. Kami merampas 675 komputer riba dan wang tunai RM14,162.

“Dalam operasi sama, kami menahan tujuh suspek berusia 40 tahun hingga 50 tahun mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dipercayai menjadi dalang penganjuran judi dalam talian,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2015 @ 5:52am
d