mutakhir

Teliti sebelum ambil tindakan

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Semua aduan dan maklumat berkenaan rasuah yang berlaku dalam mana-mana organisasi berdaftar di negara ini akan diteliti secara telus terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata, ia juga sebagai memastikan kebenaran aduan berkenaan sebelum kertas siasatan dapat dibuka.

“Secara umum, kita akan membuat penelitian terhadap aduan dan maklumat diterima melalui Lembaga Penasihat SPRM. Ini kita lakukan kepada semua aduan, tidak kira apa organisasi sekali pun termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

“Ia sudah termaktub dalam Perlembagaan SPRM mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 iaitu jika wujud unsur rasuah, kita akan jalankan siasatan.

“Mereka yang terbabit juga akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Gerak Mesra Merakyatkan SPRM Sempena Hari Anti Rasuah Sedunia (Karnival Futsal SPRM Kelantan), di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah SPRM Kelantan Datuk Abdul Aziz Aban.

Beliau berkata, langkah pencegahan perlu dilakukan untuk membanteras masalah rasuah dalam pelbagai institusi dengan memberi kesedaran kepada pekerja dan orang ramai.

Mustafar berkata, isu rasuah yang membabitkan mana-mana institusi perlu dilaporkan bersama maklumat lengkap dan teliti.

Ketika ditanya sama ada terdapat penyelewengan di dalam pengagihan bantuan banjir atau tidak beliau berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada mangsa terbabit bahawa bantuan lambat sampai.

“Kita memang ada menerima aduan daripada mangsa banjir tapi ia bukan isu rasuah.

“Oleh itu, kita wujudkan satu jawatankuasa segera dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Audit Negara,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2015 @ 6:08am
d