mutakhir

'Malaysia sedia berdepan sebarang kemungkinan'

Kuala Lumpur: “Apa yang berlaku di Paris dilihat seakan-akan memberi motivasi kepada pihak tertentu untuk melakukan serangan yang sama, namun kita amat yakin akan kemampuan dan kebolehan PDRM di atas kesiapsiagaan bagi menentukan tiada sebarang usaha itu dibuat di sini,” tegas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia sedia berdepan sebarang kemungkinan serangan pihak tertentu seperti yang berlaku di Paris.

“Malaysia sudah meningkatkan kesiapsiagaan di pintu masuk laut, darat dan udara melalui kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis marin dan beberapa agensi penguatkuasaan yang lain,” kata beliau.

Beliau bercakap kepada media selepas menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian meningkatkan kerjasama mencegah dan membanteras jenayah berat (PCSC) antara kerajaan Malaysia dengan Amerika Syarikat di sini, semalam

Pada 13 November lalu, 129 orang terbunuh dalam serangan bom dan senjata api di beberapa lokasi di ibu kota Perancis.

Sementara itu, Ahmad Zahid menasihatkan pihak yang merancang untuk mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di sini hari ini supaya membatalkan hasrat mereka.

Katanya, Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 perlu menghormati tetamu dan pemimpin dunia yang hadir.

“Saya harap kita meraikan perbezaan pendapat dan kita harus menghormati tetamu tambahan pula Malaysia sebagai tuan rumah bagi ASEAN.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang mahu berhimpun itu berpendapat kehadiran Presiden Barack Obama bagi mendorong Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang disifatkan mereka berat sebelah dan hanya menguntungkan syarikat AS.

Disiarkan pada: November 20, 2015 @ 6:13am
d