mutakhir

Tangani radikalisasi, ekstremisme

Kuala Lumpur: Dalam situasi peningkatan ancaman keganasan secara global, Datuk Seri Najib Razak berazam mahu memastikan kumpulan militan dan ideologi pelampau yang wujud di rantau ini dihapuskan.

Perdana Menteri menegaskan bahawa ekstremisme tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.

Banyak negara di rantau ini sudah menderita di tangan pelampau dan Malaysia tidak terkecuali seperti digambarkan oleh pembunuhan kejam rakyat Malaysia, Bernard Then oleh kumpulan militan di Filipina, baru-baru ini, katanya.

“Ini memberi saya keazaman yang lebih tinggi berbanding sebelum ini untuk memastikan bahawa segala langkah yang mungkin diambil bagi menghapuskan bukan sahaja kumpulan militan yang bangkit di rantau ini, tetapi juga amalan ideologi pelampau mereka,” katanya.

Bernard, 39, seorang jurutera elektrik dari Sarawak, diculik dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah, 14 Mei lepas dan kemudian kepalanya dipenggal oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di Pulau Jolo di Kepulauan Sulu, selatan Filipina, Rabu lalu.

Najib berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Berkaitan, di sini.

Katanya, beliau turut menggesa negara anggota ASEAN untuk menyuarakan tentangan serta menolak ekstremisme dan menyokong kesederhanaan.

Pemimpin ASEAN perlu menangani semua bentuk radikalisasi dan keganasan kejam serta manifestasi yang mendorong kepada keganasan, katanya.

“Ini termasuk pencegahan radikalisasi, pembiayaan, merekut dan menempatkan individu-individu dalam kumpulan pengganas,” katanya.

Najib berkata, dalam perang terhadap keganasan, Malaysia akan melihat kepada kerjasama bukan sahaja dengan negara anggota ASEAN yang lain, malah negara-negara lain di luar rantau ini.

Najib berkata, Kuala Lumpur akan menghoskan Persidangan Antarabangsa Mengenai Radikalisasi dan Keganasan Melampau pada 25 dan 26 Januari tahun depan.

Persidangan tersebut, katanya bukan saja membabitkan negara anggota ASEAN, malah juga negara lain iaitu Australia, China, Perancis, Jepun, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Bagaimanapun, kata-kata saja tidak memadai dan saya ingin memberi jaminan kepada rakyat kami bahawa kita akan melihat kepada langkah-langkah padu yang boleh diambil bagi menangani penyebaran radikalisasi dan ekstremisme secara menyeluruh,” katanya.

Mengenai masalah pergerakan migran yang tidak teratur di negara-negara ASEAN, perdana menteri berkata usaha global oleh semua negara diperlukan bagi memecahkan kancah kitaran ganas eksploitasi.

Isu ini bukan sahaja membawa kebimbangan mendesak kepada ASEAN, tetapi juga kepada komuniti antarabangsa, katanya. -BERNAMA

Disiarkan pada: November 20, 2015 @ 6:17am
d