mutakhir

64 capai keputusan cemerlang

Seramai 64 murid daripada 569 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 13 sekolah angkat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di seluruh negara berjaya mencapai keputusan cemerlang apabila memperoleh semua A pada tahun ini.

Sekolah Kebangsaan Tualang Tinggi, Pasir Puteh, Kelantan mendahului senarai apabila 21 murid daripada 68 calon UPSR mendapat 5A manakala Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang berada di belakangnya dengan 14 murid mendapat 5A daripada 88 calon keseluruhan.

Pelbagai reaksi pelajar, ibu bapa dan guru dapat disaksikan ketika anak-anak menerima slip keputusan peperiksaan selepas mengikuti pelbagai aktiviti seperti kursus motivasi dan kerohanian, bengkel peningkatan kemahiran, kelas tambahan, seminar UPSR, Klinik UPSR, latihan teknik menjawab soalan dan aktiviti lain yang menyokong pembelajaran murid tahun enam.

Justeru, TNB dengan berbesar hati mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berusaha sedaya upaya sepanjang tahun ini untuk mencapai yang terbaik dalam akademik mereka.

Tidak ketinggalan, TNB merakamkan setinggi penghargaan kepada barisan guru dan ibu bapa yang bertungkus lumus membantu murid untuk terus bersemangat mengulang kaji pelajaran.

Pembabitan TNB bermula pada 2007 iaitu sejak PINTAR diperkenalkan dan pada pelaksanaan pertama, dua sekolah dijadikan sekolah angkat iaitu Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas dan Sekolah Bertam Indah, masing-masing dari Pulau Pinang.

Program PINTAR dilaksanakan bersandarkan tiga kriteria utama iaitu menggalakkan kecerdasan, memupuk bakat dan menyokong semangat tanggungjawab.

TNB juga menyalurkan bantuan kewangan kepada setiap sekolah bagi memudahkan program PINTAR, selain membuat pemantauan berkala menerusi lawatan dan laporan kemajuan pendidikan dan pelaksanaan program.

Disiarkan pada: November 22, 2015 @ 5:11am
d