mutakhir

5,000 gagal buah pinggang saban tahun

Di Malaysia, lebih 5,000 kes kegagalan ginjal atau buah pinggang didiagnos setiap tahun. Sehingga bulan Disember 2014, sejum34,767 orang menjalani haemodialisis atau istilah lazim digunakan, cuci darah.

Faktor utama menyumbang kepada statistik mencemaskan ini ialah peningkatan jumlah pesakit diabetes atau kencing manis serta warga tua.

Rakyat Malaysia boleh dianggap bernasib baik kerana terdapat banyak kemudahan untuk rawatan kegagalan ginjal peringkat akhir iaitu pemindahan buah pinggang, haemodialisis atau dialisis peritoneal.

Pada hari ini terdapat hampir 700 pusat dialisis di seluruh negara. Kerajaan adalah penyumbang terbesar membiayai 60 hingga 70 peratus pesakit haemodialisis sama ada sepenuhnya atau sebahagian daripadanya menerusi agensi berkaitan.

Jabatan Zakat, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat dan pertubuhan agama juga memainkan peranan membantu pesakit haemodialisis.

Dasar kebajikan kerajaan serta perkongsian unik sektor awam dan swasta membantu negara merawat hampir semua, jika tidak, semua pesakit ginjal peringkat terakhir.

Bagaimanapun, dianggarkan menjelang 2020 hampir 50,000 pesakit kegagalan ginjal peringkat akhir akan menjalani rawatan dengan 90 peratus memerlukan haemodialisis.

Oleh yang demikian, sistem pembiayaan yang ada perlu dikaji semula sekiranya negara mahu terus menyediakan rawatan yang mampu ditanggung pesakit berkenaan.

Ketua Perkhidmatan Nefrologi di Kementerian Kesihatan Datuk Dr Tan Chwee Choon berkata, memandangkan permintaan rawatan dijangka meningkat, pelbagai aspek mekanisme pembiayaan perlu diselesaikan.

Perkara ini penting bagi menjamin rawatan dialisis dapat dikekalkan.

“Strategi pembiayaan semasa tidak dapat dikekalkan, sebahagian besarnya kerana kekurangan kesetaraan dalam kaedah pembiayaan dalam kalangan pelbagai agensi.

“Lagi pun tidak ada satu-satu pihak yang mengawasi keseluruhan wang yang dibelanjakan serta hasil daripada perbelanjaan itu,” katanya pada seminar kebangsaan tahunan Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF).

Tan menambah, sistem pembiayaan semasa memungkinkan berlaku penipuan, pembaziran serta penyalahgunaan.

Menurut beliau, sistem itu juga tidak cekap kerana seseorang pesakit perlu pergi ke pelbagai pusat dan berjumpa pakar untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, sumber kewangan NKF semakin berkurangan.

Menurut Naib Pengerusi NKF, Dr T Thiruventhiran, yayasan itu memerlukan hampir RM15 juta untuk memberi subsidi dialisis kepada pesakit.

Secara keseluruhannya, kos operasi yayasan itu mencecah RM30 juta setahun.

NKF menawarkan rawatan dialisis kepada lebih 1,600 pesakit yang mengalami kegagalan ginjal daripada golongan berpendapatan rendah setiap tahun.

Yayasan ini yang mengendalikan 27 pusat dialisis seluruh negara menganjurkan program pendidikan awam, di samping turut memberi sumbangan kepada kebajikan pesakit miskin tegar serta anak mereka.

Sebagai tambahan, yayasan ini juga memerlukan wang untuk menyediakan latihan profesional bagi kakitangan mereka serta menyediakan pengangkutan untuk pesakit dan menggantikan peralatan yang ada.

“Untuk selama 46 tahun, NKF melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit buah pinggang dalam kalangan rakyat Malaysia serta membantu pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang.

“Bagaimanapun, dari tahun ke tahun, kami menyaksikan pertambahan pesakit dan keadaan ini membuatkan kami memerlukan lebih banyak wang untuk mengendalikan yayasan ini,” kata Thiruventhiran yang juga pakar nefrologi Hospital Pantai.

Beliau mendedahkan pesakit muda kegagalan ginjal kebanyakannya dalam usia 50 hingga 60 tahun dan mereka mengalami diabetes, tekanan darah tinggi serta bermasalah kolesterol.

“Ini menunjukkan pengurusan lemah penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi memandangkan lazimnya tempoh untuk buah pinggang rosak akibat diabetes atau tekanan darah tinggi yang tidak dikawal ialah antara 10 hingga 20 tahun,” katanya.

Beliau menambah, meskipun pemindahan buah pinggang adalah rawatan terbaik untuk pesakit kegagalan ginjal, namun tidak banyak pemindahan itu dibuat kerana kekurangan penderma.

Setiap tahun hanya 60 pemindahan buah pinggang dijalankan.

Sebagai usaha untuk membantu NKF, Pusat Perubatan Sunway Medical Centre melancarkan kempen bertajuk “30 hari ke Cabaran Buah Pinggang Sihat” untuk mengumpul dana bagi yayasan ini.

Program itu membabitkan tempoh 30 hari dengan pelbagai kegiatan harian berbeza untuk menarik minat orang awam belajar mengenai kesihatan buah pinggang serta mendokong amalan buah pinggang sihat.

Kempen yang juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan buah pinggang di samping mengurangkan kes diabetes ini berlangsung dari 12 Oktober hingga 17 Januari 2016.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh diperoleh dari laman sesawang Pusat Perubatan Sunway www.sunwaymedical.com dan laman sesawang NKFwww.nkf.org.my . - BERNAMA

Disiarkan pada: November 22, 2015 @ 5:42am
d