mutakhir

Angkat martabat gambus

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Gambus kemungkinan hanya tinggal sejarah atau luput ditelan zaman jika tiada usaha berterusan bagi mengangkat kembali martabat muzik tradisional itu dengan memperkenalkan ia kepada generasi muda sekarang ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, gambus dilihat tidak mendapat sambutan dalam kalangan belia, malah dipandang sebagai alat muzik ketinggalan zaman menyebabkan tiada pelapis yang mampu menggalas tanggungjawab untuk mengekalkannya untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, jika perkara itu dibiarkan kemungkinan khazanah negara itu akan pupus dan hanya tinggal sejarah berikutan kebanyakan pembuat serta pengamalnya sudah berusia lebih setengah abad dan penyambung kesenian itu kini hampir tiada.

“Pameran dan program tidak mencukupi untuk memperkenalkan alatan muzik kepada umum kerana memerlukan inisiatif yang lebih berkesan iaitu dengan mengadakan pertunjukan atau diperkenalkan di kawasan tumpuan ramai lebih kerap lagi.

“Kebanyakan belia bukannya tidak minat kepada alatan muzik tradisional seperti gambus ini, namun mereka kurang diperkenalkan malah peluang untuk mencubanya juga terhad,” katanya selepas merasmikan Festival Gambus Serantau di Muzium Negara, di sini, semalam.

Festival yang berlangsung dari 21 hingga 29 November depan bertujuan memperkenalkan kepada umum mengenai sejarah, perkembangan, kepelbagaian bentuk dan jenis serta evolusi gambus dari seluruh negara.

Mas Ermieyati berkata, gambus mempunyai nilai tinggi di negara luar kerana hasil pembuatannya yang halus dan teliti menarik minat mereka untuk memilikinya.

“Masalah yang dihadapi sekarang ini adalah industri pembuatan gambus semakin berkurangan kerana diusahakan oleh golongan berusia saja dan jika ada pun hanya perusahaan hanya dijalankan secara kecilan saja,” katanya.

Oleh itu, pihaknya akan memperhebatkan lagi promosi dan program bagi mengangkat kembali martabat gambus kepada generasi muda supaya seiring dengan perkembangan alatan muzik moden lain.

Disiarkan pada: November 24, 2015 @ 8:32am
d