mutakhir

Serah cek RM205,000

Oleh Fakhrurrazi Usuldin

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan berharap lebih banyak syarikat korporat memainkan peranan membantu kerajaan dalam usaha memperkasa sektor pendidikan di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata, pembabitan syarikat korporat dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini supaya setanding dengan negara maju.

“Dalam menuju negara maju, sistem pendidikan juga perlulah seiring dengan perkembangan teknologi kini, jadi dengan adanya sumbangan dan sokongan dari pihak swasta, terutama dalam bidang teknologi, mampu membantu pelajar terutama di luar bandar mendapat pendidikan berkualiti,” katanya kepada media di pejabat Western Digital (M) Sdn Bhd, semalam.

Sebelum itu, beliau menyampaikan cek RM205,000 dari Yayasan Western digital Malaysia kepada wakil Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 4, Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Petaling Jaya dan Pusat Tuisyen dalam talian, Edunation.

Justeru, beliau menggesa lebih banyak syarikat dan sektor korporat mencontohi Western Digital bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.

“Saya berharap usaha Western Digital ini dapat membuka mata syarikat lain untuk bersama membantu pelajar di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Sumber Manusia syarikat itu, Wan Zaileena Nordin berkata, sudah menjadi tanggung jawab sosial Western Digital dalam membantu komuniti menerusi program sedemikian sejak penubuhan yayasan terbabit pada 2010.

“Sebagai sebuah syarikat berasaskan teknologi, menjadi tanggung jawab kami membantu pelajar dan pihak sekolah di negara ini dengan sumbangan seperti komputer dan tuisyen secara online yang boleh dinikmati semua pelajar di bandar dan pedalaman,” katanya.

Wan Zaileena yang juga Pengerusi Yayasan Western Digital berkata, melalui sumbangan itu, setiap institusi pendidikan itu akan menggunakan dana membantu pelajar di aspek teknologi, program Bahasa Inggeris dan kemudahan makmal komputer.

“Malah, hasil tajaan Yayasan Western Digital, sekumpulan pelajar tingkatan tiga dari SMK USJ4 sudah merangkul tempat pertama di Kejohanan Robot Olympiad 2015 di Doha, Qatar pada November lalu,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Disiarkan pada: November 25, 2015 @ 8:25am
d