mutakhir

MBSA tunggu laporan

Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedang menunggu laporan daripada perunding bagi mendapatkan cadangan penyelesaian banjir kilat di beberapa kawasan di bandaraya ini.

Ia susulan daripada banjir kilat yang sering melanda daerah ini terutamanya di Seksyen 13, Batu Tiga, Seksyen 9 dan beberapa kawasan lain terutamanya pada musim hujan.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, mengikut rancangan awal, laporan berkenaan dijadualkan dibentangkan pada April tahun hadapan bagi menyelesaikan masalah banjir kilat sepenuhnya.

“Bagaimanapun perunding yang dilantik itu diarahkan supaya melakukan kajian dalam kadar segera dan dijangka diserahkan kepada MBSA pada Disember ini berikutan banjir kilat yang terjadi baru-baru ini.

“Antara sebabnya ialah hujan berterusan mengakibatkan kapasiti aliran longkang melebihi daripada kadar biasa hingga berlakunya banjir kilat,” katanya ketika ditemui dalam sidang media seminar Pengurusan Sampah (Sisa Binaan) di Kawasan MBSA 2015 di MBSA Cawangan Setia Alam, semalam.

Ahmad Zaharin berkata, pihaknya turut melakukan semakan mengenai pam yang diletakkan di kawasan yang sering berlaku banjir sama ada masih berfungsi atau tidak.

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor juga sedang menyemak semua pam sama ada berfungsi atau tidak.

Katanya, selepas laporan berkenaan selesai dibentangkan, MBSA akan membawa perkara itu kepada kerajaan negeri bagi memohon peruntukan.

Dalam pada itu, Ahmad Zaharin berkata, pengurusan pembuangan sisa bahan binaan yang sistematik amat penting kerana mampu membendung banjir kilat.

Disiarkan pada: November 25, 2015 @ 8:29am
d