mutakhir

Mengaku muat naik gambar persenda Islam

Kuala Lumpur: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, blogger kontroversi Alvin Tan mengakui dia ada memuat naik gambar yang mempersenda umat Islam pada Ramadan di Facebook dua tahun lalu dan melakukannya hanya untuk bergurau.

Philip @ Peter S Golingai, 48, yang juga editor Star Online berkata, Alvin memaklumkan perkara itu selepas dia menghubungi tertuduh melalui telefon bagi mendapatkan maklumat mengapa dia berbuat demikian sebaik gambar berkenaan menjadi topik perbualan hangat di laman sosial.

Katanya, jam 9.30 pagi pada 12 Julai 2013 di Kuala Besut, dia terus menghubungi Alvin Tan selepas mendapat nombor telefon lelaki itu daripada salah seorang dari kumpulan dalam aplikasi WhatsApp di telefon bimbitnya.

Menurut Philip, dalam perbualan telefon itu, Alvin memberitahunya selain berjenaka, tujuan dia berbuat demikian adalah untuk mengetahui bagaimana penerimaan masyarakat terhadap gambar yang dimuat naik itu.

“Saya juga menyoal Alvin sama ada dia menyesal atau tidak dengan perbuatannya, dia pada mulanya menjawab ‘ya’, namun beberapa ketika berkata dia tidak tahu.

“Alvin memberitahu dia hanyalah cuba melawak, namun bukan semua orang memahami lawak yang dilakukannya itu, malah kebanyakan orang marah dan kecewa,” katanya.

Philip yang juga saksi pendakwaan keenam berkata demikian ketika menjawab soal Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam perbicaraan Alvin Tan dan Vivian Lee yang menghadapi pertuduhan mempersenda umat Islam pada Ramadan, dua tahun lalu.

Menurutnya, Alvin turut memberitahu kira-kira 300 orang memberikan komen sebelum dia tidur dan kebanyakannya memarahinya atas tindakannya itu, namun dia memaklumkan dia belum menyesal apabila diaju soalan itu sekali lagi.

“Soalan terakhir saya kepadanya (Alvin), adakah dia mahu membuang gambar yang sudah dimuat naik itu, dan Alvin menjawab berkemungkinan dia akan berbuat demikian, namun kini ramai yang berkongsi gambar berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, pada 13 Jun tahun lalu, Alvin gagal hadir kali pertama ke mahkamah ketika kesnya ditetapkan untuk sebutan semula.

Dalam prosiding itu, hanya Vivian yang hadir ke mahkamah manakala Alvin tidak hadir.

Kes di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud bersambung hari ini.

Disiarkan pada: November 25, 2015 @ 9:08am
d