mutakhir

'Masak' dadah depan keluarga

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Seorang pengedar dadah bukan saja memiliki makmal membuat syabu di rumahnya di sebuah flat di Brickfields, di sini, malah dipercayai turut ‘memasak’ bahan berkenaan di hadapan isteri dan anaknya sebelum kegiatan itu terbongkar, Sabtu lalu.

Dalam serbuan jam 4.30 petang itu, lelaki berusia 42 tahun terbabit ditahan hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua JSJN Kuala Lumpur Superintendan Adnan Azizon berkata, suspek ditahan bersama bahan dan peralatan memproses syabu yang dianggarkan bernilai RM10,000.

“Hasil pemeriksaan di kediaman suspek, lelaki berkenaan menjadikan sebuah bilik sebagai makmal mini memproses syabu dan polis merampas satu botol cecair methaphetamine, satu botol cecair metanol, cecair hidroklorik asid serta satu paket syabu.

“Polis turut merampas bekas putih mengandungi bahan yang dipercayai digunakan suspek sebagai asas menghasilkan syabu,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Adnan berkata, siasatan mendapati suspek tinggal bersama isteri dan tiga anaknya serta disyaki memproses syabu di hadapan keluarganya.

Beliau berkata, suspek menjalankan kegiatan itu secara berseorangan kerana bimbang kegiatannya terbongkar.

“Suspek yang juga seorang penganggur mempunyai empat rekod kesalahan lampau,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: November 25, 2015 @ 9:14am
d