mutakhir

Mampu halang gajah

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Setiu: Masalah pencerobohan gajah liar di kawasan tanaman dan penempatan penduduk di Kampung Payong di sini yang berlarutan sejak 50 tahun lalu bakal berakhir apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri menyediakan pagar elektrik sepanjang 25 kilometer di kawasan kampung berkenaan.

Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) yang menelan kos lebih RM25 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada akhir Disember ini, namun fasa pertama disiapkan Disember tahun lalu itu sepanjang 18.2 kilometer (km) sudah berfungsi dan terbukti mengurangkan pencerobohan gajah liar ke kawasan berkenaan.

Penduduk, Salleh Yusof, 64, berkata dia pernah mengalami kerugian sehingga RM10,000 apabila ladang getahnya seluas 3.2 hektar daripada lapan hektar dimusnahkan sekumpulan haiwan liar itu pada Disember 2013.

“Kumpulan gajah antara lima hingga lapan ekor sering menceroboh ke ladang getah milik saya dan 1,200 pokok getah berusia tiga tahun habis musnah,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas Majlis Pelancaran SPEG Kampung Palong, di sini, semalam.

Majlis berkenaan dilancarkan Pengarah PERHILITAN negeri Mohd Hasdi Husin. Hadir sama, Pengerusi Jawantankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Payong Othman Ismail.

Salleh berkata, penyediaan SPEG itu berhasil dan menghalang gajah daripada menceroboh ke dalam ladangnya sejak SPEG fasa pertama berfungsi pada awal Januari tahun ini.

“Apabila SPEG fasa dua siap bulan depan, saya yakin masalah pencerobohan gajah dapat diselesaikan 100 peratus dan ia memberi kelegaan kepada semua peladang di kampung berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hasdi berkata, sebelum ini SPEG itu disediakan di Sekayu, Hulu Terengganu sepanjang 32 km pada 2012 dan diteruskan ke Kampung Pelong, Setiu sepanjang 34 km pada 2013 dan SPEG itu menyelesaikan masalah gajah di kawasan berkenaan 100 peratus.

“SPEG bukan saja menghalang gajah daripada memasuki ke kawasan penduduk dan tanaman, tetapi haiwan bersaiz besar lain termasuk tapir, seladang dan harimau.

“Kami bercadang memperluaskan SPEG itu sehingga ke kawasan Chalok hingga ke Kmapung Hulu Seladang, Besut dan ia masih dalam pertimbangan peruntukkan daripada kerajaan pusat,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2015 @ 9:36am
d