mutakhir

Tertuduh kekal pengakuan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Amran Yahya

Kuala Pilah: Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menetapkan 22 Disember depan untuk pengurusan kes terhadap seorang pemandu lori yang dituduh merogol kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, November tahun lalu.

Hakim Sazlina Safie menetapkan tarikh berkenaan bagi membolehkan serahan dokumen dilakukan selepas tertuduh Ahmad Affifuddin Ismail, 30, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan meminta dibicarakan terhadap pertuduhan dikenakan ke atasnya.

Pada 20 Oktober lalu, mahkamah sama menetapkan semalam sebagai tarikh sebutan semula kes selepas Ahmad Affifudin yang diwakili peguam Abdul Aziz Hamzah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Seremban, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 namun gagal berbuat demikian sebelum dia dibawa ke lokap.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Kikir, Bahau.

Perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa melahirkan bayi lelaki secara songsang di sebuah klinik kesihatan di Bahau pada jam 9 pagi, 8 Ogos lalu.

Bagaimanapun, bayi terbabit meninggal dunia di HTAN akibat radang usus jam 4.40 pagi, 12 Ogos lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kaiyisah Shukri.

Disiarkan pada: November 27, 2015 @ 9:35am
d