mutakhir

Posto Paya Redan

Oleh Norfaisal Jahuri

Melaka|: Perkhidmatan menghantar kad jemputan perkahwinan menyebabkan Jumali Ahmad, 62, popular dengan panggilan posto yang juga gelaran bagi penghantar surat dalam filem Ahmad Albab dalam kalangan penduduk di beberapa kampung di daerah Alor Gajah.

Jumali dari Kampung Paya Redan, Ayer Molek, di sini, sudah 25 tahun mengabdikan diri sebagai posmen kampung dan mampu menghantar 2,000 kad jemputan sehari.

Malah, setiap tahun dia menghantar 15,000 kad jemputan penduduk majoriti masyarakat Jawa dari kampung Paya Redan, Seri Mawar, Bukit Nibong, Kampung Tengah, Bukit Durian, Paya Tanjung, Bukit Gedung, Surau Batu, Batu Putih, Tanjung Md Midah, Paya Meranti, Seberang Anak Ayer, Paya Baru dan Tambak Paya.

“Sepanjang tahun ini, saja hingga Oktober lalu saya menghantar 13,000 kad jemputan. Bagi memudahkan urusan menghantar kad jemputan saya menyimpan rekod nama dan alamat setiap penduduk dari 15 kampung sekitar berjumlah lebih 1,500 orang serta mengenali setiap individu berkenaan.

“Saya mengambil masa hampir empat tahun melengkapkan senarai nama dan alamat setiap penduduk dan mengemaskini rekod yang dimiliki jika ada penduduk yang berpindah ke tempat lain atau menghuni rumah baru dibina,” katanya ketika ditemui.

Jumali berkata, pada kebiasaannya tugasnya dimulakan dengan menulis nama setiap jemputan pada sampul sebelum menghantar kad itu selewat-lewatnya 10 hari sebelum majlis kenduri berlangsung.

Selain itu, dia menyisih setiap kad jemputan berkenaan mengikut turutan kawasan kampung sekali gus memudahkan tugasnya dan mengelakkan ada yang tercicir.

“Sepanjang melakukan tugasan ini, saya pernah mengambil masa sehingga lima jam menulis nama jemputan pada sampul. Kebiasaannya tugas menulis nama tetamu dilakukan pada waktu malam sebelum dihantar kepada penerima pada sebelah pagi atau petang.

“Tugas menghantar kad jemputan akan dilakukan di kampung yang mempunyai penerima paling ramai dan pernah menghantar sehingga lima keping kad di sebuah rumah membabitkan individu berlainan menggunakan alamat sama.

“Kad jemputan yang dihantar bergantung kepada jumlah yang diberikan tuan rumah iaitu antara antara 200 hingga 1,500 dan setiap keping dikenakan caj penghantaran 40 sen,” katanya.

Bekas pekerja hotel di bandar raya Melaka itu berkata, mungkin ramai menganggap tugas menghantar kad jemputan nampak mudah kerana hanya perlu memasukkannya ke dalam peti surat.

Disiarkan pada: November 27, 2015 @ 9:49am
d