mutakhir

Lapan pam sedut air banjir

Oleh Ayusliza Azizan

Kuala Selangor: Sebahagian penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan di daerah ini mula pulang ke kediaman masing-masing berikutan banjir mulai surut, semalam.

Walaupun hujan, air semakin surut kerana kerja mengepam air dan pembersihan parit dijalankan secara berterusan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Pegawai Daerah Kuala Selangor merangkap Pengerusi Bencana Daerah Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, pihaknya menjangkakan banjir di daerah ini pulih dalam masa terdekat terutama di kawasan Parit Mahang.

“Lapan pam air yang ditempatkan di beberapa kawasan serta kerja pembersihan parit oleh JPS masih beroperasi diteruskan sehingga banjir pulih sepenuhnya.

“Jumlah mangsa yang ditempatkan di enam pusat pemindahan sehingga jam 6 petang tadi (semalam) kini seramai 378 orang membabitkan 90 keluarga,” katanya ketika dihubungi.

Shamsul berkata, pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang mencatatkan seramai 207 orang daripada 49 keluarga manakala di Balai Raya Kampung Bukit Cherakah seramai 17 mangsa membabitkan lima keluarga.

Beliau berkata, seramai 33 mangsa membabitkan lapan keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Bukit Hijau dan Balai Raya Kampung Bukit Kuching seramai 56 orang daripada 10 keluarga.

Menurutnya, di Surau Ladang Tuan Mee menempatkan seramai 28 orang daripada sembilan keluarga sementara Balai Raya Kampung Asahan mempunyai seramai 37 mangsa membabitkan sembilan keluarga.

“Semua mangsa dibenarkan pulang selepas mendapat pengesahan daripada pihak keselamatan bahawa kawasan berkenaan selamat didiami semula,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, banjir kilat berlaku di dua kawasan di Klang dan satu di Kuala Langat berikutan hujan lebat kira-kira jam 6 petang, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, banjir kilat berlaku di Taman Sentosa Klang, Taman Maznah Klang dan Kampung Orang Asli Paya Rumput Kuala Langat.

Disiarkan pada: November 27, 2015 @ 10:11am
d