mutakhir

Tuah jawab soalan bonus

Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Kejayaan menjawab soalan bonus membawa tuah kepada wakil Universiti Taylor’s apabila muncul juara Kuiz Pelaburan Pemodalan Nasional Berhad (PNB) 1Malaysia 2015, semalam.

Ketua kumpulan, Lee Wei Kee, 21, berkata, dia bersama dua rakan, Yap Yeow Phing, 20, dan Adrian See, 20, mengambil masa dua minggu untuk melakukan persediaan menyertai pertandingan itu.

“Kuiz ini membantu kami mendalami bidang kewangan selain menambah pengetahuan mengenai pelaburan dan amanah saham.

“Pertandingan ini membantu pelajar kewangan seperti kami memantapkan lagi pengetahuan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dia berkata, mereka menjadi satu-satunya kumpulan yang berjaya menjawab soalan bonus ketika markah semua kumpulan hampir sama.

Menurutnya, kuiz itu boleh dijadikan landasan kepada penuntut universiti untuk menajamkan lagi pengetahuan dalam bidang pelaburan.

Pertandingan akhir kuiz bagi kategori universiti menyaksikan empat pasukan iaitu Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), Universiti Taylor’s dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) melayakkan diri ke peringkat akhir.

Sementara itu, Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kuiz itu memberi pendedahan pendidikan kepada mahasiswa universiti awam dan swasta.

“Ia merangkumi pelaburan, kewangan, ekonomi, perdagangan, unit amanah dan konsep pelaburan jangka panjang serta hubung kait dengan risiko dan pulangan,” katanya.

Beliau berkata, johan bagi kategori universiti membawa pulang piala pusingan, piala iringan dengan hadiah keseluruhan bernilai RM8,000 merangkumi wang tunai RM5,000 untuk universiti dan unit ASG-Pendidikan bernilai RM1,000 bagi setiap peserta.

Disiarkan pada: November 27, 2015 @ 10:15am
d