mutakhir

Menantu, mentua kongsi kemanisan

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Tuah seorang wanita apabila mendapat tempat pertama dalam peraduan kuiz terkumpul Salam Baitullah Musim Ke-6, sekali gus membawa pulang pakej umrah atau pelancongan bernilai RM10,000, walaupun kali pertama menyertai peraduan itu.

Kerani sekolah dari Simpang Pelangai, Bentong, Pahang, Rafidah Wahid, 35, berkata, dia mengikuti rancangan berkenaan sejak musim kedua pada 2011.

“Meskipun sudah lama mengikuti program itu, ini kali pertama saya mencuba nasib menyertai peraduan yang diselitkan dalam setiap episod dan sama sekali tidak menyangka apabila memenangi tempat pertama.

“Malah, sepanjang menonton program televisyen ini, tergerak hati saya untuk menunaikan umrah di Tanah Suci. Hari ini impian saya tercapai,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Peraduan Salam Baitullah di Menara Berkembar Bank Rakyat, di sini, semalam.

Salam Baitullah yang disiarkan secara langsung menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula 7 hingga 28 September lalu ditaja sepenuhnya Bank Rakyat memaparkan perjalanan jemaah haji di Makkah.

Rafidah berkata, kemenangan itu lebih manis apabila dikongsi bersama ibu metuanya yang mendapat tempat ketiga dalam peraduan berkenaan dan membawa pulang baucar pelancongan.

Pengerusi Bank Rakyat Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang menyempurnakan majlis penyampaian hadiah itu berkata, tiga pemenang utama bagi soalan terkumpul memenangi hadiah utama iaitu pakej umrah atau percutian bernilai RM10,000, RM8,000 dan RM6,000 serta lima pemenang hadiah saguhati wang tunai RM1,000 setiap seorang.

“Manakala 63 penonton bertuah lagi memenangi hadiah bagi soalan kuiz harian yang keseluruhannya berjumlah RM12,600 berbentuk baucar pelancongan tajaan Bank Rakyat dan Rakyat Travel,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2015 @ 6:46am
d