mutakhir

Sambutan luar biasa PR1MA

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) hasil inisiatif kerajaan menyediakan rumah mampu milik dan selesa untuk rakyat terus menerima sambutan luar biasa apabila satu daripada projeknya di Bukit Bintang di sini, menerima permohonan 25 kali ganda berbanding unit rumah sedia ada iaitu 543 unit.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang gembira dengan perkembangan itu berkata, ia menunjukkan soal perumahan satu perkara yang dekat di hati rakyat.

“Alhamdulillah, kita lihat bagaimana rumah yang dibina ini mendapat sambutan luar biasa seperti projek PR1MA di Alam Damai, Cheras berjumlah 2,000 unit menerima permohonan lima kali ganda atau 10,418 manakala di Jalan Jubilee, Bukit Bintang yang berjumlah 543 unit, menerima permohonan 25 kali ganda (14,960),” katanya berucap pada Perasmian Ekspo Rumah PR1MA di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia Datuk Abdul Mutalib Alias.

Sehubungan itu, Najib menegaskan kerajaan komited menunaikan janji pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) iaitu membina sejuta rumah mampu milik di seluruh negara demi kepentingan rakyat terutama golongan berpendapatan sederhana dalam tempoh lima tahun.

“Tugas pertama diberi kepada PR1MA yang dikehendaki membina 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara. Setakat 30 September lalu, 16 peratus daripada sejuta rumah mampu milik dijanjikan kerajaan siap dibina,” katanya.

Perdana Menteri berkata, hasrat kerajaan ialah membina rumah yang berkualiti, selesa, termasuk dilengkapi kemudahan seperti taman rekreasi, surau dan tadika selain ditekankan harganya mesti 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

“Dengan cara seperti ini kita bukan sahaja menyediakan rumah yang amat dikehendaki rakyat, tetapi kita juga menjana kekayaan yang kita pindahkan ke tangan rakyat.

“Ini kerana kalau aset itu dalam bentuk rumah, nilai pasarannya lebih tinggi daripada apa kita beli, sudah tentu dapat sahaja sebuah rumah PR1MA maka boleh dapat keuntungan yang lebih besar,” katanya yang kemudian membuat 10 cabutan bagi pemohon rumah PR1MA.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan pentingnya kerjasama kerajaan negeri, syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dipertingkatkan untuk membina rumah mampu milik.

Katanya, kerajaan Sarawak misalnya memberi kelonggaran terhadap dasar kepadatan pembangunan PR1MA, sekali gus membantu mengurangkan kos pembinaan kediaman itu sebanyak 20 peratus.

“Begitu juga di Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan menyediakan pusat sehenti dan GLC seperti TNB (Tenaga Nasional Berhad) bekerjasama dengan PR1MA untuk membangunkan sebidang tanah seluas 3.2 hektar Kajang dengan membina 1,200 unit rumah untuk dijual kepada kakitangan TNB dan masyarakat setempat,” katanya.

Ekspo terbesar berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula semalam mengumpulkan 84 pemaju dengan 98 projek perumahan dipamerkan.

Disiarkan pada: November 28, 2015 @ 7:10am
d