mutakhir

Kawasan rendah dilanda banjir kilat

Kuala Krai: Hujan lebat sejak awal pagi semalam menyebabkan beberapa kampung di kawasan rendah di daerah ini mengalami banjir kilat.

Antara kampung terjejas termasuk Kampung Bedal, Kampung Bukit Sireh, Kampung Chenulang, Kampung Pasir Jering, Kampung Dusun Ban, Batu Pagar, Kampung Dusun Bunut dan Kampung Kebun Pisang.

Terdapat beberapa kampung itu dipercayai mengalami kesukaran untuk keluar disebabkan paras air naik akibat limpahan tali air terdekat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Mohamad Hanif Che Khalid berkata, hujan berterusan menyebabkan paras sungai sekitar meningkat namun tidak membahayakan.

“Kita menyedari ada kawasan rendah yang dinaiki air namun hanya memenuhi pekarangan rumah penduduk. Belum ada panggilan kecemasan daripada penduduk terjejas setakat 7 malam.

“Untuk itu, semua anggota diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia membantu penduduk apabila keadaan memerlukan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau percaya air mula bertakung di kawasan rendah mulai 3 petang.

Katanya, penduduk dinasihati membuat persediaan segera bagi menghadapi kemungkinan banjir dan sentiasa mengawasi ahli keluarga masing-masing.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat merah dan jingga bagi negeri Pantai Timur dan Johor yang dijangka berterusan sehingga hari ini.

Disiarkan pada: November 28, 2015 @ 7:18am
d