mutakhir

Terkilan kena hentam

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Balu pelakon dan pelawak popular Allahyarham Harun Salim Bachik, Surianti M Nur, 35, meluahkan rasa terkilan selepas tindakannya menceritakan dia kesempitan hidup sejak pemergian suami pada Mac lalu dihentam orang ramai di Internet.

Surianti berkata, ramai yang mengecam kononnya dia tidak boleh berusaha sendiri dan hanya menunggu ihsan daripada orang lain.

“Saya sudah jelaskan tidak mahukan wang sesiapa. Apa yang saya mahu bantuan peluang dan ruang untuk berniaga. Saya juga meminta peluang untuk anak-anak melebarkan bakat seni mereka,” katanya.

Surianti juga ingin membersihkan namanya yang terpalit dengan pelbagai sangkaan daripada masyarakat.

“Saya tidak berniat mengungkit atau memburukkan sesiapa. Saya ingin membersihkan nama dan mendapatkan hak anak-anak saya.

“Keputusan saya untuk pulang ke kampung buat seketika keputusan terbaik untuk saya mencari semula kekuatan dan ketenangan,” katanya.

Surianti ditemui di rumahnya di Pandan Perdana, di sini, ketika menerima kunjungan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang diketuai Presidennya, Datuk Freddie Fernandez, semalam.

Sementara itu, Freedie berkata, lawatan itu diadakan bagi mendengar sendiri masalah Surianti di samping mendapatkan maklumat terperinci mengenai kehidupannya dan anak-anak selepas kematian Harun.

“Sebagai persatuan yang menjaga hak dan kebajikan penggiat seni tanah air, saya terpanggil untuk bertemu dengan keluarga ini dan mendapatkan kepastian mengenai apa yang boleh kami bantu,” katanya.

Katanya, Karyawan memainkan peranan sebagai persatuan dan memberikan bantuan dalam bentuk sokongan perniagaan.

“Memandangkan Surianti menolak bantuan wang tunai, kami akan membantunya dari segi peluang perniagaan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Surianti dibeban dengan masalah kewangan sejak kematian suaminya pada Mac lalu hingga dia membuat keputusan mahu pulang ke kampung halamannya di Kulim, Kedah.

Surianti kini menjalankan perniagaan secara online bagi menanggung bayaran ansurans kereta dan rumah sewa serta dua anaknya iaitu Hakeem Sufiy Al-Rashid, 14, dan Siti Hazeera Sofea, 12.

Dia dan Harun melangsungkan pernikahan pada 22 Mei 2000 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Disiarkan pada: November 28, 2015 @ 7:21am
d