mutakhir

600 periksa jantung

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Program pemeriksaan penyakit jantung Media Prima Berhad (MPB)-Institut Jantung Negara (IJN) Medical Outreach di Kempas di sini, semalam, mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Program sama yang akan dijalankan di Masjid Jamek Ungku Muhamad, Tampoi di sini, hari ini, ialah kerjasama kedua MPB dan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) bersama IJN pada tahun ini selepas program sama diadakan di Terengganu pada April lalu.

Koordinator Briged Sukarelawan MPB-NSTP Wan Abdillah Wan Nawi berkata, kerjasama yang dijalinkan sudah berterusan sejak empat tahun lalu dan sambutan yang diterima setiap kali penganjuran tidak mengecewakan.

“Pada hari pertama ini, kita menerima kunjungan penduduk setempat kira-kira 600 orang dari pelbagai kaum dan peringkat umur yang ingin menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Kita jangka esok (hari ini) lebih ramai yang hadir di Tampoi dan kita jangkakan dapat menarik seramai 1,000 masyarakat setempat pada kedua-dua hari ini,” katanya yang ditemui di Dewan Jawatankuasa Penduduk Mukim-Mukim,Taman Bukit Kempas di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Tengku Putra Harun Aminnurashid Tengku Abdul Hamid Jumat.

Wan Abdillah berkata, seramai 70 sukarelawan MPB, NSTP dan IJN terbabit dalam program yang bertujuan mendekati masyarakat bagi memberi kesedaran kepentingan pemeriksaan jantung pada peringkat awal.

“Ia bertujuan supaya masyarakat setempat berpeluang membuat ujian saringan tekanan darah, paras gula dalam badan dan tahap kolesterol yang mempunyai kaitan dengan penyakit jantung,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat IJN, Aina Jamil berkata, sekiranya pengunjung yang dilihat mempunyai risiko serangan jantung, IJN akan merujuk mereka ke hospital berdekatan.

“Kita turut menyediakan treler dengan kelengkapan eco-cardiogram dan pemeriksaan ECG bagi mereka yang dilihat mempunyai risiko penyakit jantung.

“Selain itu, khidmat kaunseling turut disediakan bagi memberi penerangan mengenai cara hidup yang lebih sihat, sekali gus dapat melakukan pencegahan terhadap serangan jantung,” katanya.

Aina berkata, penyakit jantung adalah pembunuh senyap yang kini bukan lagi mereka berusia 40 tahun ke atas berisiko menghadapinya, namun seawal usia 20 tahun, penyakit jantung boleh menyerang.

Seorang penduduk, Ahmad Faris Mohd Yusof, 46, berkata, program seumpama itu perlu diteruskan di masa akan datang bagi memudahkan orang ramai mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang lebih mudah tanpa perlu ke hospital.

Disiarkan pada: November 29, 2015 @ 5:07am
d