mutakhir

Modal jadi isu

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Kuala Lumpur: “Hasil pemerhatian menerusi aduan dan maklumat diterima mendapati masalah utama dihadapi golongan usahawan Bumiputera dikaitkan dengan kekangan modal bagi menjalankan perniagaan sama ada bersaiz kecil atau besar.

“Tidak dinafikan banyak dana disediakan agensi dan institusi kewangan, namun masih wujud jurang bagi golongan itu terutama sukar untuk memperoleh pinjaman wang,” kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius perkara itu yang turut menjadi antara agenda utama bakal dibentangkan pada mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda pada Perhimpunan Agung UMNO bulan depan.

“Kita (Pemuda UMNO) merasakan bahawa isu mengenai dana yang diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera itu perlu diberi perhatian kerana membabitkan agenda ekonomi untuk golongan berkenaan bukan saja golongan muda malah wanita dan veteran.

“Pada Bajet 2016 lalu, kerajaan turut menyediakan pelbagai dana, tetapi masih ada rungutan dalam kalangan peniaga dan usahawan untuk mendapatkan pinjaman perniagaan. Justeru, jalan penyelesaian perlu dicari sekali gus memastikan dana itu sampai kepada mereka,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Dana Bumiputera di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib dan Pengerusi konvensyen itu merangkap Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun.

Lebih 500 peserta menyertai konvensyen itu yang merangkumi sesi penerangan dan soal jawab bersama beberapa panel jemputan bagi membincangkan hala tuju serta penambah baikan mengenai isu dana berkenaan.

Menurut Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, pihaknya mahu memastikan semua peluang dan kemudahan disediakan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan Bumiputera.

“Ia sekali gus membuktikan bahawa kita (Pemuda UMNO) turut memberi fokus kepada isu utama dan bukan hanya kepada isu politik semata-mata,” katanya memaklumkan akan turut membentangkan isu utama lain kelak.

Beliau berkata, golongan belia terutama mahasiswa yang mahu menceburi bidang keusahawanan perlu mendapatkan maklumat terperinci terlebih dulu bagi mengelak risiko terutama berdepan masalah muflis.

“Mereka perlu membuat penyelidikan untuk mengumpul maklumat terperinci mengenai perniagaan yang mahu diceburi kerana mungkin yang tidak tahu mahu bermula daripada mana.

“Memang diakui wujud mereka yang muflis akibat perniagaan dan kita turut mencadangkan kepada Jabatan Insolvensi untuk meminda akta berkaitan sedia ada bagi memberi peluang kepada golongan itu,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2015 @ 5:07am
d