mutakhir

Ganggu kajian lalu lintas

Port Dickson: Tindakan pengguna jalan raya yang tidak patuh arah laluan baru di Pekan Port Dickson, di sini menganggu kajian lalu lintas.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan kajian menangani kesesakan lalu lintas.

Katanya, sikap pengguna yang tidak memberi kerjasama menyukarkan pihaknya merekodkan data terperinci dalam mencari arah laluan yang efisien.

“Arah laluan yang bermula pada 5 Oktober itu akan berakhir pada pertengahan Disember ini sebelum kami mengadakan perbincangan bersama dengan jabatan berkenaan untuk menganalisis hasil kajian dilaksanakan itu.

“Jika tidak sesuai, kita akan mengubah arah laluan lain untuk kajian seterusnya. Namun, jika ia sesuai kita akan teruskan selepas mengambil kira semua faktor,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Menurutnya, tindakan yang dibuat itu adalah demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

“Seperti sedia maklum, pekan ini semakin sesak terutamanya pada waktu puncak dan kajian terpaksa dijalankan bagi memastikan keselesaan pengguna pada masa akan datang.

“Buat masa ini, kami tidak mengenakan tindakan undang-undang kepada mereka yang tidak patuh kepada arah laluan itu dan hanya memberi amaran tapi sebaik dikuatkuasakan sepenuhnya, kita akan mengambil tindakan kepada mereka yang ingkar,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2015 @ 5:09am
d