mutakhir

Batu kerikilancam pengguna

Oleh Redzuan Muharam

Kulaijaya: Kehadiran ribuan batu kerikil yang bertaburan di Jalan Felda Bukit Batu menghala ke Johor Bahru di sini, ibarat ‘bom jangka’ dan boleh mengundang bahaya kepada pengguna terutama pada waktu malam.

Serpihan batu pelbagai saiz itu bukan hanya menyebabkan permukaan jalan menjadi tidak rata malah memaksa pemilik kenderaan memandu dengan berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini, selain bimbang kerosakan pada tayar dan rim.

Memburukkan lagi keadaan apabila laluan berkenaan tidak mempunyai lampu jalan sekali gus meningkatkan risiko kemalangan kepada pengguna di sepanjang laluan itu.

Pelukis pelan, Siti Salbiah Kasmori, 48, berkata isu membabitkan limpahan batu kerikil tidak sepatutnya dipandang sepi memandangkan dirinya pernah menjadi mangsa kemalangan akibat hilang kawalan ketika melalui kawasan itu baru-baru ini.

Menurut Siti Salbiah, kemalangan itu menyebabkan dia mengalami kecederaan dan dimasukkan ke wad di Hospital Pontian.

“Kejadian berlaku ketika saya dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru selepas menyelesaikan urusan kerja di kawasan berhampiran.

“Memandangkan laluan berkenaan gelap, saya tidak sempat memperlahankan kenderaan bagi mengelak serpihan batu yang berada di permukaan jalan.

“Akhirnya, saya hilang kawalan dan kereta yang dipandu tersasar di bahu jalan. Mujurlah, saya tidak mengalami kecederaan serius namun agak trauma dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemuinya di rumahnya di Bandar Seri Alam, baru-baru ini.

Ibu lima anak itu berharap pihak bertanggungjawab menyelenggara jalan berkenaan dengan segera kerana tidak mahu lebih ramai pengguna menjadi mangsa.

Menurutnya, pemantauan juga perlu dijalankan pihak penguatkuasa bagi mengenal pasti pemandu lori yang membawa muatan batu kerikil berlebihan.

“Sebelum ini, beberapa rakan pernah memaklumkan saya jalan berkenaan antara kawasan kemalangan.

“Malah, ramai menjadi mangsa kerana faktor jalan yang tidak rata dan saya sendiri tidak sangka mengalami nasib sama.

“Justeru, pihak bertanggungjawab perlu memandang serius perkara ini kerana tidak mahu ada nyawa yang terkorban,” katanya.

Seorang lagi pemandu, Rahman Mutalib, 48, berkata dia tidak menyalahkan pemandu lori sepenuhnya kerana hanya segelintir yang menjadi punca kepada masalah itu.

Rahman bagaimanapun berkata, tindakan terhadap pemandu lori yang membawa muatan berlebihan perlu diambil kerana menjadi punca serpihan batu itu bertaburan di permukaan jalan.

“Selain Jabatan Kerja Raya (JKR), agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) boleh melakukan pemantauan lebih kerap bagi menangani masalah ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2015 @ 5:10am
d