mutakhir

Selamba lawan arus jalan

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Port Dickson: Degil dan mementingkan diri. Itu sikap segelintir pengguna jalan raya yang mengambil jalan mudah untuk ke lokasi dengan memandu secara melawan arus melalui jalan sehala meskipun sedar risiko kemalangan.

Tinjauan Metro Ahad mendapati, pengguna yang menunggang motosikal dan memandu kereta sanggup melalui jalan sehala secara bertentangan di jalan utama ke PD Waterfront dan laluan keluar berhampiran Padang Merdeka di Pekan Port Dickson, di sini.

Walhal, laluan sebenar yang disediakan hanya terletak kira-kira 100 meter dari persimpangan itu.

Jalan sehala itu dikuatkuasakan pada 5 Oktober lalu selepas kajian lalu lintas untuk menilai semula jalan di dua laluan berkenaan berikutan sering berlaku kesesakan terutama pada waktu puncak.

Penunggang motosikal, Amsyar Baharudin, 24, berkata dia sering melalui jalan itu untuk ke bank berhampiran namun tidak menghadapi masalah mematuhi lalu lintas.

Dia menyifatkan tindakan pengguna jalan raya yang enggan patuh laluan sehala itu membahayakan keselamatan diri serta pengguna lain.

“Saya pernah nyaris bertembung dengan sebuah kereta yang memandu secara bertentangan arus dan saya membunyikan hon sebagai amaran, tetapi tidak diendahkan pemandu terbabit.

“Itu menunjukkan sikap pemandu yang biadab dan tidak rasa bersalah terhadap kesalahan yang dilakukan.

“Saya berharap pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang masih tidak mematuhi arahan lalu lintas,” katanya ketika ditemui di sini.

Pekerja swasta, Azizul Ibrahim, 32, berkata Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sudah membuat hebahan awal sebelum perlaksanaan laluan itu dilakukan menerusi laman web dan kain rentang.

“Selain itu, anak panah jalan dan papan tanda laluan turut disediakan dengan jelas namun masih ada pemandu tidak patuh arahan itu.

“Saya percaya tindakan mereka kerana ingin cepat sampai ke destinasi yang dituju tanpa memikirkan keselamatan pengguna lain,” katanya yang berharap pemandu yang degil itu diambil tindakan saman.

Disiarkan pada: November 29, 2015 @ 5:40am
d