mutakhir

Pengalaman dorong penuntut UNISEL bantu mangsa banjir

Kuala Selangor: Pengalaman rumah ditenggelami banjir besar di Kelantan tahun lalu menjadi pendorong kepada Nurul Hidayah Azman, 18, membantu mangsa banjir di daerah ini.

Dia yang juga penuntut Universiti Selangor (UNISEL) bersama 30 rakan lain ‘turun padang’ membersihkan Sekolah Kebangsaan Parit Mahang; Perpustakaan Awam Parit Mahang dan Tabika Kemas yang sebelum ini menjadi pusat pemindahan mangsa banjir semalam.

Nurul Hidayah yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, berkata, dia sangat memahami keadaan dan perasaan mangsa banjir sepanjang menghadapi bencana alam itu.

“Saya sendiri melalui situasi itu apabila rumah dinaiki air kira-kira seminggu menyebabkan kami berdepan pelbagai masalah seperti tiada bekalan elektrik, air bersih malah makanan juga sukar diperoleh.

“Selepas banjir surut, kami perlu membersihkan rumah yang berlumpur termasuk pelbagai barangan lain,” katanya ditemui di sini semalam.

Dalam program itu, sukarelawan UNISEL bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membersihkan pusat pemindahan itu yang ditutup kelmarin dengan melakukan kerja pembersihan tandas, kelas, susun atur meja dan kerusi, membuang sampah sarap serta mencuci.

Nurul Hidayah berkata, dia gembira dan berpuas hati apabila dapat membantu mangsa banjir walaupun sumbangan diberikan dianggap kecil.

Rakannya Nor Azrena Ahzmi, 18, berkata, dia teruja dapat menghulurkan bantuan membersihkan kawasan itu bersama rakan-rakan lain.

Sementara itu Ketua Operasi Bencana Alam ABIM Muhammad Nizam Samsudin, 38, berkata, program itu menggalakkan golongan belia membantu mangsa banjir yang memerlukan bantuan.

Katanya, lebih 40 sukarelawan menyertai program itu dan berharap lebih ramai belia menyertainya pada masa akan datang.

“Kami mempelawa penuntut UNISEL ini melalui Facebook dan ramai yang berminat.

“Selain dapat membantu mangsa. program ini juga memberi pendedahan kepada belia mengenai kesukaran yang dialami mangsa,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2015 @ 5:58am
d