mutakhir

Pengakap udara

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Mungkin nama Pengakap Udara asing dalam kalangan masyarakat tetapi mereka yang menyertai pasukan beruniform ini berupaya membantu kawalan trafik udara serta mampu mendapatkan pesawat jika berada dalam keadaan darurat.

Ilmu berkaitan trafik udara, radio telefon, simulator pesawat dan juru pandu atau penunjuk arah boleh dimanfaatkan ketika pihak berkaitan mahu menghantar bantuan kepada mangsa banjir atau di kawasan pedalaman selain memastikan pendaratan pesawat selamat.

Pesuruhjaya IbuPejabat Kebangsaan (Pengakap Udara) Zairi Zaharin berkata, pelbagai aktiviti dilaksanakan untuk pelajar sekolah berusia 13 hingga 15 tahun yang menyertai Pengakap Udara menerusi Perhimpunan Kadet Ahli Udara Kelas 1 dan 2 peringkat Kebangsaan yang bertujuan mengukuhkan pengetahuan asas penerbangan serta trafik udara.

“Walaupun usia mereka baru mencecah belasan tahun namun pendedahan pelbagai aktiviti kawalan trafik yang dilaksanakan Pengakap Udara boleh dimanfaatkan dalam membantu mendaratkan pesawat menerusi beberapa isyarat yang diajarkan kepada mereka.

“Aktiviti yang dilaksanakan merangkumi 30 peratus pengetahuan asas udara iaitu penunjuk arah darat ke udara, simbol kecemasan atau bantuan dan selebihnya adalah teknikal termasuk pembelajaran simulator pesawat oleh juruterbang berpengalaman,” katanya, ketika ditemui pada Perhimpunan Kadet Ahli Udara Kelas 1 dan 2 peringkat Kebangsaan, di sini, semalam.

Program yang dilaksanakan selama dua hari bermula kelmarin disertai 129 peserta dari 30 sekolah seluruh Malaysia kecuali Sabah dan Sarawak.

Peserta yang mengikuti program itu sehingga tamat dianugerahkan Lencana Ahli Udara Kelas 1 dan 2 sekali gus diiktiraf sebagai pelajar yang mempunyai pengetahuan asas berkaitan trafik udara.

Sementara itu, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serting Hilir Kompleks , Serting, Negeri Sembilan, Nur Syazana Najwa Jais berkata, pengisian program itu memberi gambaran sebenar terhadap operasi udara kepada peserta yang mengikutinya.

“Kami didedahkan dengan beberapa simbol yang berguna ketika meminta bantuan daripada udara,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2015 @ 6:03am
d