mutakhir

Bertepatan impak kesihatan

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Kementerian Kesihatan menyambut baik titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengharamkan penggunaan vape di seluruh negeri ini dengan premis penjualannya diarahkan tutup berkuat kuasa 1 Januari depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, titah Sultan Ibrahim bertepatan mengelak kesan jangka panjang penggunaan rokok elektronik terbabit kepada penggemarnya.

“Kementerian Kesihatan bekerjasama bersama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memberi tumpuan terhadap pengimportan rokok elektronik ini yang memberi kesan kesihatan pengguna.

“Pada masa sama, kami memantau pembelian peralatan itu secara dalam talian pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Derma Darah anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Segamat dan Pemuda MCA Cawangan Jementah di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jementah, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Segamat Zahari Sarip, Pengerusi Persatuan Masyarakat Cina Jementah Lim Pang Jyh dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat Bastien Onn dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Pelangi, Khairul Anwar Othman.

Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah, negeri itu mempunyai hak menguatkuasakan undang-undang mengikut peruntukkan kerajaan tempatan bagi menutup perniagaan pengusaha vape.

Mengulas mengenai program itu, Subramaniam berkata, bekalan darah mencukupi untuk kegunaan mangsa banjir yang dijangka berlaku di beberapa negeri pada Disember ini.

“Ia bagi memastikan semua bekalan darah disediakan meskipun tempat berkenaan terputus hubungan akibat banjir,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2015 @ 6:11am
d