mutakhir

Benteng pertahanan kedua

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Pekan: Peranan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kini semakin meluas apabila dilihat mampu menjadi benteng keselamatan mendepani ancaman yang boleh menggugat kestabilan politik negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, mereka dianggap sebagai barisan kedua selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjaga keselamatan negara.

Katanya, sebagai negara merdeka, Malaysia tidak akan berkompromi dengan isu berkaitan kedaulatan dan perlu meningkatkan sistem pertahanan yang boleh menangkis segala bentuk ancaman mendatang.

“Ancaman keselamatan ini perlu dilihat daripada pelbagai sudut iaitu dalaman dan luaran serta ancaman konvensional dan sebaliknya, malah ia muncul dari semasa ke semasa.

“Justeru, saya mahu lebih tiga juta anggota RELA memainkan peranan mereka sebagai ‘mata, telinga dan tangan’ kerajaan sebagai benteng pertahanan kedua negara seterusnya menjamin kehidupan yang aman dan tenteram,” katanya ketika berucap dalam Majlis RELA bersama Perdana Menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah RELA Datuk Kamariah Mohd Noah dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Dalam majlis itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyampaikan Pakaian Operasi Digital (POD) dan cek Insurans Kelompok RELA kepada 11 penerima berjumlah RM55,000.

Najib berkata, realitinya, ancaman bukan saja dilihat daripada aspek pencerobohan seperti di Lahad Datu, Sabah, tetapi pelbagai bentuk termasuk pemerdagangan manusia dan fahaman militan Negara Islam (IS).

“Rakyat perlu memiliki sikap sensitif mengenai soal keselamatan supaya kerajaan dapat menangani apa jua ancaman dari dalam dan luar negara,” katanya.

Menurutnya, rakyat perlu mengetahui dan memahami bahawa asas keselamatan negara adalah memiliki kestabilan politik yang kukuh.

“Ancaman seperti pencerobohan di Lahad Datu, pemerdagangan manusia dan kumpulan militan boleh ditangani dengan berkesan jika rakyat sensitif mengenai soal keselamatan serta memelihara kestabilan politik.

“Jika tiada kestabilan politik, lihat saja nasib rakyat di Syria, Tunisia, Iraq, Mali dan beberapa negara di Eropah yang tidak aman kerana tiada asas keselamatan,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2015 @ 6:13am
d