mutakhir

Buka langkah pelajar OKU ke menara gading

Kuala Lumpur: Cacat penglihatan tidak pernah menjadi halangan untuk memikul tugas sebagai pendidik kepada anak-anak yang senasib dengannya apatah lagi mahu memastikan mereka berjaya.

Malah, tanggungjawab sebagai tenaga pengajar di sekolah pendidikan khas begitu memerlukan pengorbanan yang sangat besar demi menjadikan anak didik mereka mampu berdikari, sekali gus berjaya ke menara gading.

Guru cacat penglihatan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak, Zakaria Yahya berkata, berbekalkan kepada minat yang mendalam, sudah tentu apa saja cabaran dapat diatasi dengan baik.

Katanya, dunia kini mempunyai akses dan kemudahan teknologi maklumat yang sangat luas, justeru, ia memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berbanding 16 tahun lalu ketika mula mengajar di sekolah berkenaan.

“Antara cabarannya adalah memastikan mereka setanding dengan pelajar sekolah harian biasa kerana kita mengikuti kurikulum arus perdana.

“Mereka perlu menduduki peperiksaan awam seperti Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kertas peperiksaan terbabit perlu di ubah suai untuk kesesuaian pelajar, namun masih mengekalkan maksud asal,” katanya yang juga guru mata pelajaran Literasi Komputer Tingkatan 2 dan Sejarah Tingkatan 4 dan 5.

Terdapat seramai 142 pelajar dari pelbagai negeri, merangkumi 50 peratus Melayu, 30 peratus India dan 20 peratus Cina yang belajar di sekolah berkenaan.

Zakaria berkata, sekolah itu terdiri daripada dua kumpulan pelajar iaitu pelajar Buta (B1) dan Rabun (B2), jadi mereka perlu menyediakan dua bahan pembelajaran berbeza, namun dari sumber yang sama.

“Jika subjek berkenaan penuh dengan grafik dan jadual, guru perlu mengubah suai untuk diterjemahkan dalam bentuk Braille bagi pelajar buta dan tulisan bersaiz besar bagi mereka yang rabun.

“Malah, guru yang mengajar di sekolah pendidikan khas memerlukan kesabaran dan kreativiti tinggi serta berpengalaman dalam menguruskan kanak-kanak istimewa,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2015 @ 6:24am
d