mutakhir

Tambat hati cikgu 'posting'

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Pekan: Tambat hati guru dan yakin kepada ibu bapa.

Itu prinsip Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Chini, di sini, Akit Huat, 58, yang menjadi kunci kejayaan sekolah itu sehingga menjadi sebagai sekolah tunggal Orang Asli yang diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan pada 15 Mac lalu.

Akin yang lebih 10 tahun mengajar di sekolah itu berkata, dia berpegang kepada prinsip itu, terutama ketika menerima kedatangan guru baru yang ditempatkan di sekolah berkenaan.

“Kebiasaannya, jika guru baru dapat surat ‘posting’ di kawasan pedalaman atau sekolah Orang Asli, perasaan mereka bercampur-baur.

“Saya memberikan mereka motivasi supaya bekerja dengan ikhlas kerana kita yang memilih bidang ini. Tetapi, saya juga katakan pada mereka jika perlu buat permohonan pertukaran...lakukan dan saya sedia membantu.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini...perkara itu tidak berlaku kerana selepas beberapa bulan, guru berkenaan enggan berpindah kerana berasa selesa mengajar murid Orang Asli,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

SK Tasik Chini berjaya mencatat kosong keciciran dan muncul sebagai satu-satunya daripada 94 sekolah Orang Asli seluruh negara yang menerima pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan pada 15 Mac lalu.

Kerjasama dalam kalangan guru yang saling membantu dan mendorong ke arah peningkatan prestasi murid turut membantu sekolah itu mencapai sasaran dari Band 5 hingga ke Band 1 pada Mac lalu.

Sekolah berkenaan mempunyai 115 pelajar dan 13 guru kini berupaya menjadi contoh kepada sekolah di penempatan Orang Asli lain dalam membantu meningkatkan taraf pendidikan masyarakat berkenaan.

Akit berkata, dia bertanggungjawab terhadap setiap guru sekolah itu, terutama dalam memastikan golongan itu tidak tertekan ketika menjalankan tugas.

Menurutnya, pengorbanan guru bagi memastikan kejayaan murid bukan satu perkara mudah tanpa seseorang memiliki keyakinan, keikhlasan dan komitmen yang tinggi.

“Saya mempunyai pegangan yang mungkin tidak ada pada guru lain. Pada saya, jika murid normal dan tidak mempunyai masalah daripada segi kesihatan, tetapi gagal dalam peperiksaan bermakna saya atau guru gagal mendidik mereka.

“Justeru, dalam memastikan kejayaan murid...banyak perkara perlu dilakukan, termasuk mendampingi ibu bapa dan mendekati guru dengan penuh kasih sayang serta menganggap mereka sebagai sebahagian daripada ahli keluarga,” katanya.

Akit pernah menerima insentif Anugerah Tawaran Baharu Guru Besar pada 2013 .

Sementara itu, guru Bahasa Inggeris, Mohamad Masni Mansor, 35, berkata, sepanjang 13 tahun mengajar di sekolah itu, hanya sekali dia membuat permohonan pertukaran, tetapi gagal.

Bagaimanapun, katanya, dia membuat permohonan itu bukan kerana sudah jemu, tetapi mahu mencari pengalaman mengajar di sekolah lain.

“Cabaran dan pengalaman di sini banyak mengajar saya erti pengorbanan dan kasih sayang dalam kalangan guru, ibu bapa dan murid.

“Saya mengambil masa hampir dua tahun untuk menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan masyarakat Orang Asli,” katanya yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Guru Pendidikan Khas, Nor Aishah Abu Samah, 24, pula ternyata gembira menerima tawaran mengajar di sekolah itu kira-kira 10 bulan lalu.

Menurutnya, beliau memang mahu ditempatkan di sekolah di penempatan Orang Asli kerana pernah berpengalaman ketika mengikuti kursus di Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan (IPGTAA) yang terletak di Kuala Lipis.

“Mengajar murid Orang Asli dalam kelas pemulihan pula menuntut kesabaran yang tinggi kerana mereka berbeza dengan pelajar lain. Mereka perlu diberi perhatian yang lebih,” katanya yang berasal dari Kampung Pasir Panjang, Pekan.

Disiarkan pada: November 30, 2015 @ 6:24am
d