mutakhir

Si gedik geli lipas

Oleh Fardy Bungga dan Nazrin Shah Md Salim

Kuala Lumpur: Geli pada lipas menyebabkan tiga pelacur warga asing yang sedang bersembunyi di dalam stor penyimpanan arak di sebuah premis hiburan menjerit sebelum diberkas polis.

Dalam serbuan itu jam 10.30 malam semalam, tiga wanita warga Vietnam itu bersembunyi di dalam stor selepas menyedari serbuan polis yang diketuai Deputi Superintendan Hussin Mat Junus di kelab malam terletak di Taman Usahawan, Kepong, di sini.

Bagaimanapun anggota polis terdengar jeritan seorang pelacur itu yang panik selepas beberapa ekor lipas merayap pada tubuhnya.

Ketiga-tiga wanita itu bersembunyi selama 30 minit akhirnya diberkas polis di celah longgokan kotak minuman keras di stor terbabit.

Ketua Penolong Pengarah Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, serbuan STAGG di enam pusat hiburan yang menawarkan khidmat pelacur.

“Serbuan dilakukan serentak di enam lokasi iaitu tiga premis di Kuchai Entreprenuer Park, Bukit Puchong, Pusat Perdagangan One Puchong dan Taman Usahawan Kepong.

“Dalam serbuan berakhir jam 12.30 tengah malam semalam, seramai 99 wanita warga asing ditahan membabitkan warga negara Vietnam, Thailand dan Laos,” katanya.

Beliau berkata, 16 individu tempatan dan warga asing sebagai penjaga premis turut diberkas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen dan Seksyen 55(1)(d), Seksyen 6(1)(c) akta yang sama serta Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.

“Polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan terhadap premis rumah urut yang menjalankan kegiatan pelacuran dan Seksyen 5(1)(b) Ordinan Hiburan 2000 serta satu kes mengikut Akta Kastam kerana tiada lesen jualan minuman keras.

“Turut dirampas peralatan termasuk komputer riba, buku catatan urus niaga, kondom dan wang tunai sebanyak RM6,720 untuk siasatan lanjut,” tegasnya.

Disiarkan pada: November 30, 2015 @ 6:27am
d