mutakhir

Jalan PD bah

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Hujan lebat bermula jam 2 petang semalam mengakibatkan laluan di Jalan Port Dickson-Seremban, berhampiran Bandar Springhill dan Kampung Sendayan di sini, dilanda banjir kilat.

Laluan utama menghubungkan taman perumahan itu ke Port Dickson dan Seremban dinaiki air sedalam satu meter menyebabkan kenderaan ringan tidak boleh melalui jalan berkenaan.

Banjir kilat yang berlaku jam 4 petang susulan hujan lebat selama tiga jam menyebabkan berlaku kesesakan teruk sejauh lebih tiga kilometer berikutan pengguna terperangkap selepas gagal melepasi jalan itu.

Seorang pengguna jalan raya, S Gunasegaran, 52, berkata, dia dalam perjalanan ke Port Dickson dari Seremban dan terperangkap di Bandar Springhill berikutan banjir kilat menyebabkan semua kenderaan tidak dapat melaluinya.

“Hanya kenderaan berat boleh melepasi jalan berkenaan. Kami juga tidak dapat berpusing balik dan hanya menunggu sehingga banjir surut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Seorang lagi pengguna jalan itu, Norita Sulaiman, 28, berkata, dia dari Port Dickson untuk ke Mambau terkejut sebaik tiba di lokasi mendapati jalan raya dinaiki air dan tidak dapat dilalui.

“Difahamkan, air naik dengan cepat menyebabkan pemandu tidak mahu mengambil risiko melepasinya. Saya mengambil alternatif berpatah balik dan menggunakan lebuh raya menghala ke Seremban,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Ahmad Izam Malek berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 4.30 petang dan sepasukan tujuh anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, dua rumah di Kampung Sendayan di sini, dinaiki air, namun penghuninya enggan berpindah kerana air semakin surut, manakala kejadian di Bandar Springhill hanya membabitkan jalan raya.

“Sehingga jam 5 petang semalam, tiada mangsa dipindahkan dan tiada pusat pemindahan dibuka,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2015 @ 8:38am
d