mutakhir

Selamat diri berpelampung kotak polisterin

Sungai Buloh: “Saya terpaksa menggunakan kotak polisterin besar untuk menyelamatkan diri kerana risau air mula naik sehingga ke paras 0.6 meter dalam rumah,” kata Asiah Ismail, 36, mangsa banjir di Kampung Kubu Gajah, di sini, semalam.

Menurutnya, hujan lebat mula turun kira-kira jam 2 petang sebelum berhenti setengah jam kemudian.

“Namun, hujan turun lagi dan berterusan sehingga jam 10 malam menyebabkan air naik sehingga ke paras dada menyebabkan kami sekeluarga terpaksa keluar dan mencari tempat selamat.

“Hanya suami sahaja yang tinggal di rumah untuk memantau keadaan rumah. Saya bersama empat anak berusia setahun, 6, 9 dan 10 tahun serta dua adik berusia 34 dan 32 tahun menumpang di rumah rakan,” katanya.

Asiah berkata, lebih 100 keluarga di Kampung Kubu Gajah terbabit dalam banjir, semalam.

Menceritakan pengalamannya yang terpaksa menggunakan kotak polisterin, Asiah berkata, dia dan ahli keluarga dibantu orang awam yang menolaknya ke kawasan lebih tinggi.

“Kami khuatir dengan keselamatan masing-masing memandangkan hujan tidak berhenti dan air pula semakin tinggi,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian banjir di kawasan berkenaan semakin teruk sejak dua tahun lalu.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat dapat menyelesaikan masalah ini kerana setiap kali banjir, kami terpaksa menyelamatkan barang dan membersihkan rumah selepas banjir surut,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2015 @ 8:41am
d