mutakhir

'Jone Jitra' 505

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Jitra: Kelicikan seorang penarik kereta dikenali ‘Jone Jitra’ yang menukar nombor pendaftaran menggunakan label 505 pada setiap kereta yang ditariknya dengan cara agresif, akhirnya kecundang apabila ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 semalam.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan selepas lebih 400 laporan polis dibuatnya mengenai penarikan kereta diragui apabila status kenderaan itu sehingga kini tiada di bank.

Susulan penahanan suspek, sekurang-kurangnya sembilan kenderaan yang disyaki berstatus kereta piang (kereta sakit) dirampas membabitkan jenis Audi, Mercedes, Toyota Alphard, Honda CRV, Mitsubishi Triton, Nissan Frontier, Proton Inspira, Mitsubishi Airtek dan sebuah motosikal berkuasa besar jenis Gold Wing.

Menurut sumber, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Judi Maksiat dan Kongsi Gelap (D7A) Bukit Aman diketuai Penolong Pengarahnya, Asisten Komisioner Amir Rashid Derani, di sekitar Bandar Darulaman, di sini, pada Jumaat lalu, berikutan kes lampau pada 2005 mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, tindakan mengikut POCA diambil petang semalam selepas mengambil kira operasi suspek melalui label 505 yang menimbulkan ketakutan kepada orang awam.

“Tindakan itu juga diambil sebagai langkah pencegahan berikutan siasatan dan risikan mendapati suspek dalam usaha membina rangkaian kumpulan itu,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, berdasarkan modus operandi, suspek menyalahgunakan lesen sebagai penarik kereta untuk mengumpul pelbagai kenderaan menggunakan kaedah kereta piang (kereta sakit).

Disiarkan pada: December 15, 2015 @ 6:24am
d