mutakhir

Didakwa miliki senapang patah buatan sendiri

Sungai Petani: Tiga lelaki termasuk seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, semalam, atas pertuduhan memiliki empat senapang patah buatan sendiri secara haram, minggu lalu.

Tertuduh, Abd Wahab Saad, 67, Zaroni Arshad, 60, dan Mehat Saidin, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di depan Hakim M Vijayalakhsmi.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd Wahab didakwa memiliki dua laras senapang buatan sendiri tanpa lesen sah jam 10.45 malam di rumah beralamat di Kampung Teroi Bukit, Yan, pada 8 Disember lalu.

Hakim kemudian menetapkan 18 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menanti tertuduh melantik peguam bagi mewakilinya.

Prosiding pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Izza Munirah Mansor.

Di mahkamah berasingan, Zaroni dan Mehat, masing-masing menghadapi pertuduhan memiliki selaras senapang patah tanpa lesen sah, minggu lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Zaroni didakwa melakukan kesalahan itu jam 1.20 pagi pada 9 Disember lalu di depan rumah beralamat di Kampung Perigi Sungai, Yan.

Manakala, dalam pertuduhan berasingan, Mehat didakwa melakukan kesalahan sama kira-kira jam 4.30 petang pada 12 Disember lalu di sebuah bangsal lembu terletak di Kampung Setar, Yan.

Hakim Saiful Bahari Adzmi ketika penghakimannya menetapkan 4 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan menasihatkan kedua-dua tertuduh mendapatkan khidmat guaman.

Pertuduhan bagi Abd Wahab, Zaroni dan Mehat dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.

Semua tertuduh juga tidak dibenarkan diikat jamin sehingga kes selesai.

Disiarkan pada: December 16, 2015 @ 8:04am
d