mutakhir

Keadaan bah boleh lebih parah

Melaka: Penduduk sekitar Krubong perlu mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak daripada ditimpa kecelakaan ketika banjir melanda.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, keadaan boleh menjadi serius jika masyarakat menganggap bencana itu sebagai perkara remeh terutama selepas air dari ‘bunded storage Durian Tunggal 2’ melimpahi tebingnya.

“Keadaan membimbangkan kerana tembok setinggi 3.7 meter di bunded storage terbabit dilimpahi dan air naik setinggi empat meter sehingga mengalir ke Sungai Gangsa.

“Limpahan air ini mula memasuki kawasan rendah petang semalam (kelmarin) iaitu Kampung Tanah Merah, Krubong dan Sungai Badau menyebabkan penempatan di situ terjejas,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat penempatan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Krubong, di sini, awal pagi semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengambil tindakan segera dengan menggerakkan semua agensi terbabit untuk mengarahkan penduduk meninggalkan rumah masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.

“Saya minta semua pihak seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka, memantau perkembangan cuaca terutama,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2015 @ 8:35am
d