mutakhir

Bersumpah bela diri

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang pembantu tapak semaian diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap empat tuduhan memperdagangkan wanita warga Indonesia, Vietnam dan China, Mac lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu terhadap Yik Chui Yeong, 41, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mengikut keempat-empat pertuduhan, Yik dituduh memperdagangkan dua wanita Indonesia dan masing-masing seorang wanita Vietnam dan China berusia 20-an bagi maksud eksploitasi seks.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah hotel di Jalan Sungai Ujong di sini, 11 Mac lalu, jam 6.45 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kamarudin berkata, tertuduh diberi tiga pilihan sama ada memberi keterangan pembelaan secara bersumpah, keterangan pembelaan tanpa sumpah atau berdiam diri.

Tertuduh yang diwakili Mohd Hazrin Alif Wahab memilih memberi keterangan pembelaan secara bersumpah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin dan mahkamah menetapkan 19 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: December 17, 2015 @ 8:23am
d