mutakhir

Tiada maaf untukmu

Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, mengekalkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM300,000 terhadap bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don kerana bersalah menerima rasuah RM60,000 bagi mempercepatkan kelulusan permohonan visa 4,337 pekerja Bangladesh, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Wahid, 62, untuk mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Amelia dalam penghakimannya berkata, mahkamah menerima semua keterangan saksi pendakwaan dalam kes itu.

“Selain itu, mahkamah juga mengkaji setiap fakta kes dengan teliti dalam perjalanan kes ini, termasuk di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Rayuan,” katanya.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk V Sithambaram yang mewakili Wahid memohon agar pelaksanaan hukuman bagi anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan hukuman itu selain mengarahkan wang jaminan dinaikkan kepada RM100,000.

Amelia juga mengarahkan denda dibayar sebelum akhir tahun ini.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Abdul Razak Musa.

Pada 30 Oktober 2013, Wahid dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sebelum itu, pada 15 Oktober 2010, hakim Mahkamah Sesyen memutuskan melepas dan membebaskan tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh dan pada 31 Mei 2012, hakim Mahkamah Tinggi turut mengekalkan pembebasan itu. Namun, keputusan itu disemak semula.

Disiarkan pada: December 17, 2015 @ 8:32am
d