mutakhir

Tiada lesen untuk vape

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Berkuat kuasa serta-merta, kerajaan negeri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengeluarkan lesen penjualan rokok elektronik atau vape.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, arahan itu hanya membabitkan pengeluaran lesen baru dan kerajaan negeri sedang menunggu keputusan Kerajaan Pusat sebelum mengambil tindakan ke atas lesen penjualan vape yang dikeluarkan sebelum ini.

“Kita tidak mahu berlaku pertindihan penguat kuasaan kerana kita berpendapat masalah penggunaan vape tidak akan selesai jika hanya beberapa negeri yang mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen.

“Jika kita tidak keluarkan lesen, pengguna vape akan mendapatkan bekalan bahan dari negeri lain yang masih membenarkan penjualan cecair itu dan masalah berkenaan tidak akan selesai,” katanya selepas Majlis Penyampaian Kelengkapan Awal Persekolahan Sempena Program Komuniti PLUS Kembali Ke Sekolah 2016 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Jalan Kuala Nerus, Terengganu.

Ahmad Razif berkata, PBT boleh mengarahkan peniaga vape supaya mengosongkan premis perniagaan mereka sekiranya dikesan menjual barangan berkenaan tanpa lesen.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Pendidikan negeri diarahkan mengeluarkan pekeliling kepada semua pengurusan sekolah di seluruh negeri supaya mengharamkan penggunaan vape di sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata, arahan pengharaman itu bukan saja untuk penggunaan vape, malah merokok juga tidak dibenarkan di kawasan sekolah.

Katanya, pengetua dan guru besar di semua sekolah di negeri ini diminta membuat pemantuan serta mengambil tindakan mengikut peraturan ditetapkan Kementerian Pendidikan ke atas penggunaan vape serta rokok di kawasan sekolah.

“Jika sebelum ini hanya rokok yang diharamkan dihisap di kawasan sekolah, berkuat kuasa serta-merta pengharaman menghisap vape juga tidak dibenarkan,” katanya.

Ghazali berkata, pengurusan sekolah diberi kuasa autonomi dan berhak untuk menentukan hukuman atau tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan itu dan kerajaan negeri tidak akan campur tangan.

Disiarkan pada: December 17, 2015 @ 9:20am
d