mutakhir

Rampasan RM380,000

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Tiga premis menjual vape di sekitar bandar raya ini yang diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu pada Selasa lalu membabitkan nilai rampasan RM380,000 turut dikesan melakukan pelbagai kesalahan.

Dalam serbuan jam 4 petang itu, sebanyak 6,924 botol cecair serta 190 unit peranti dan aksesori vape dirampas serta menahan empat individu terdiri daripada pemilik dan penjaga premis berusia 23 hingga 70 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, serbuan ke atas dua premis di Taman Century dan Larkin selepas mendapat maklumat penjualan cecair vape atau perisa yang disyaki mengandungi racun iaitu nikotin mengikut Akta Racun 1952.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tiga premis melakukan kesalahan lain seperti tidak meletak tanda harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, menjalankan perniagaan dan mempamerkan iklan tanpa lesen.

“Mereka dikesan gagal mendaftarkan alamat cawangan, tiada papan tanda perniagaan serta tidak mempamerkan sijil pendaftaran mengikut Akta Pendaftaran Perniagaan 1956,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, semalam.

Beliau berkata, operasi bersepadu yang julung kali dibuat itu dilaksanakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (Cawangan Farmasi), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Katanya, dalam menangani isu vape, kerjasama dengan pelbagai agensi penguat kuasa yang terbabit ini akan terus dijalankan dan operasi dibuat dari semasa ke semasa bagi mengambil tindakan terhadap penjual vape, rokok elektronik dan cecair vape atau e-liquid.

Wan Ahmad Najmuddin turut menasihatkan peniaga yang menjalankan perniagaan seumpama ini mematuhi undang-undang demi kesejahteraan rakyat, selain mengelak ia memudaratkan kesihatan orang ramai khususnya di negeri ini.

Disiarkan pada: December 18, 2015 @ 6:48am
d