mutakhir

Sarjana setuju bukan mitos

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Hang Tuah wira alam Melayu sememangnya wujud. Itu resolusi dicapai dalam Forum Khas Hang Tuah Memang Wujud anjuran Kerajaan Negeri Melaka, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep), Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Institut Seni Malaysia Melaka (Issma) dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka.

Forum yang dihadiri 150 peserta dibarisi panel Pengerusi Iksep Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin, Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka Jamil Kamaruddin serta dua pensyarah Jabatan Bahasa Melayu dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Emeritus Dr Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin.

Dalam forum itu, setiap ahli panel diberi tempoh 20 minit membentangkan fakta serta hasil kajian mengenai kewujudan Hang Tuah.

Mohd Jamil yang mewakili Iksep berkata, Hang Tuah wira Melayu Dunia yang tersohor, terkenal bukan saja sebagai laksamana Panglima Angkatan Laut dan pengawal peribadi sultan, malah sebagai utusan mahupun duta pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

“Hang Tuah berkhidmat dengan tiga sultan iaitu Sultan Mansur Syah (1456 hingga 1477), Sultan Alaudin Riayat Syah (1477 hingga 1488) dan Sultan Mahmud Syah (1488 hingga 1411),” katanya.

Menurutnya, polemik mengenai kewujudan Hang Tuah bermula sejak 1950-an dan sejak itu juga 90 peratus sarjana dan pengkaji bersetuju Hang Tuah memang wujud.

Beliau berkata, dakwaan karyawan tamu Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) Prof Emeritus Dr Ahmat Adam yang mengatakan Hang Tuah tidak wujud serta nama Hang Tuah sekadar watak fiksyen dalam teks klasik Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah adalah tidak benar.

“Fakta yang diperoleh bukan bergantung kepada satu buku, malah disebut sarjana sejarah Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Filipina, China, Jepun, Inggeris, Belanda, Sepanyol dan Russia sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rohaidah berkata, penemuan manuskrip terbaru di Jepun bermula dengan keris sembilan luk dipercayai dari kerajaan Melaka lampau membuka lembaran baru mengenai kesahihan kewujudan Hang Tuah.

“Saya terlihat keris itu dipaparkan di Internet pada Februari lalu sebelum menghubungi kementerian terbabit di Jepun. Mereka memberi maklum balasdan menghantar salinan manuskrip kepada saya menerusi emel pada 10 Mei lalu sebelum kami terjemah dan membukukannya.

“Saya meminjam manuskrip daripada Universiti La Trobe di Australia selama tiga minggu dan menyalin semuanya untuk rujukan kami, malah saya tertarik dengan kajian yang dilakukan profesor Universiti Bilgi di Istanbul, Turki mengenai kerajaan Uthmaniyah yang dipercayai ada kaitan dengan Kesultanan Melayu Melaka dan mereka berjanji mengirimkannya kepada saya selepas selesai kajian dibukukan,” katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2015 @ 7:03am
d