mutakhir

Kasih terlerai

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Rantau Panjang: “Arwah sempat membuka matanya ketika dia sedang nazak seolah-olah mencari kelibat anak kami.

“Air matanya juga mengalir ketika itu. Saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia akhirnya menghembuskan nafas terakhir,” kata Hanafie Kamarudin, 25, suami kepada Sharina Shafie, 24, yang meninggal dunia kira-kira jam 6.30 pagi, semalam di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, selepas koma selama lapan hari.

Kisah keluarga itu dilaporkan Harian Metro, Selasa lalu, apabila anak lelaki mereka, Mohd Harraz Danial, 8 bulan, putus bekalan susu ibu selepas arwah disahkan menderita jangkitan kuman di otak.

Hanafie berkata, kini anaknya bukan hanya terputus bekalan susu ibu sahaja, malah turut hilang kasih sayang dan belaian wanita berkenaan untuk selama-lamanya.

“Sekarang ini sayalah bapa dan ibu kepada Mohd Harraz. Dia mungkin terlalu kecil untuk memahami semua ini, namun saya akan galas tanggungjawab mendidiknya sebaik mungkin.

“Saya akan menjaganya seperti diamanahkan arwah isteri dan membentuknya menjadi anak yang soleh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chabang Tiga, di sini, selepas majlis pengebumian Allahyarhamah Sharina.

Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chabang Tiga pada jam 4 petang, semalam.

Mengimbas detik bersama Sharina di HRPZ II, semalam, Hanafie berkata, dia sudah dapat menjangkakan hayat arwah tidak panjang apabila diminta doktor untuk berada bersama-sama arwah.

“Pada jam 5 pagi, doktor memanggil saya dan ahli keluarga untuk bersama arwah yang masih koma dan kelihatan tenat. Saya berada rapat dengannya ketika itu.

“Ketika itu jugalah saya sempat melihat dia membuka mata seperti mencari-cari seseorang dan dia mengalirkan air mata. Saya tahu dia mencari anak kami dan sebaik dibacakan dua kalimah syahadah, dia pun pergi,” katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2015 @ 7:05am
d