mutakhir

Pelajar proses dadah

Oleh Zulfa Mohamad

Kepala Batas: Biasanya premis di pusat bandar termasuk kondominium dijadikan makmal memproses dadah, namun lain pula bagi sekumpulan lima lelaki yang menjadikan rumah kampung di Penaga, dekat sini, sebagai makmal mini menghasilkan dadah.

Tindakan lima lelaki terbabit termasuk seorang pelajar berusia 15 tahun menjadikan rumah dibina di tanah lot sebagai lokasi memproses dadah mungkin bagi mengaburi pihak berkuasa, namun helah mereka gagal apabila kediaman berkenaan diserbu polis, jam 11.30 pagi kelmarin.

Antara mereka, empat daripadanya penduduk tempatan termasuk pelajar terbabit manakala seorang lagi dari Kuala Lumpur dipercayai dalang utama yang mengajar penduduk berkenaan memproses dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah SPU hasil maklumat risikan yang mendapati kegiatan mencurigakan di rumah berkenaan.

Beliau berkata, ketika serbuan, lima lelaki terbabit leka memproses dadah dan tidak menyedari premis itu dikepung polis.

“Susulan itu, lima lelaki berusia 15 hingga 45 tahun ditahan untuk siasatan lanjut manakala beberapa jenis dadah seperti syabu, heroin dan ganja dirampas.

“Turut dirampas beberapa peralatan memproses dadah dengan nilai rampasan dianggarkan RM250,000,” katanya, di sini, semalam.

Kelima-lima suspek dipercayai baru berjinak-jinak dalam pembuatan dadah dan seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau serta pernah dua kali ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana kesalahan berkaitan dadah.

Azmi berkata, ujian air kencing mendapati kelima-lima suspek positif amphetamin dan siasatan lanjut dijalankan termasuk pasaran bagi dadah dihasilkan serta kemungkinan ahli lain kumpulan berkenaan.

“Selain pelajar terbabit, empat yang ditahan penganggur dan polis masih menyiasat jumlah sebenar anggota geng berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2015 @ 6:49am
d