mutakhir

Santap bersama rakyat

Oleh Ibrahim Isa

Muar: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli dan bersantap di Restoran Ansari, Jalan Maharani di sini, pagi semalam mendapat pujian pelbagai lapisan masyarakat.

Ramai yang bangga menjadi rakyat Johor kerana mempunyai sultan berjiwa rakyat, tidak kurang yang memuji tindakan baginda yang bersahaja mencemar duli dan berjumpa rakyat.

Seorang penduduk Muar, M Sivakumar, 47, berkata, dia kagum dengan kesanggupan Sultan Ibrahim yang sanggup mencemar duli dan bersarapan bersama rakyat.

Dia tidak berpeluang untuk menjamu selera bersama Tuanku, namun tahu mengenai kejadian itu menerusi Facebook.

“Walaupun saya berasal dari Negeri Sembilan, namun saya tinggal di sini sejak 26 tahun lalu dan bangga kerana dinaungi seorang sultan yang prihatin dan berjiwa rakyat.

“Malah, baginda melayan semua rakyatnya sama rata, sekali gus memudahkan kami mencari rezeki dalam keadaan selamat dan makmur,” katanya ketika ditemui.

Peniaga, Mohd Fauzi Ahmad, 37, berkata, tindakan Sultan Ibrahim itu membuktikan baginda tidak kekok bersama rakyat dan mudah untuk mendampingi rakyatnya.

Menurutnya, ia tindakan luar jangkaan dan sebagai rakyat Johor dia bangga mempunyai sultan berjiwa rakyat.

Katanya, Sultan Johor bukan saja suka bertemu rakyat malah mendalami masalah dialami rakyatnya dan mencari penyelesaian.

“Jika dilihat, Sultan Ibrahim memang sayangkan rakyatnya dan Kembara Mahkota Johor (KMJ) adalah bukti baginda suka turun ke bawah dan melihat sendiri tanah jajahan dan mengambil tahu masalah dialami penduduk.

“Baginda bukan saja menjelajah dengan menunggang motosikal, malah menjelajah ke pulau dan kawasan orang asli. Sebagai rakyat Johor, kami sentiasa mendoakan Sultan Johor dipanjangkan usia dan menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Penduduk, Najwa Satari, 20, berkata, dia mengetahui perkara itu menerusi facebook namun tidak terkejut kerana Sultan Ibrahim sentiasa beramah mesra dan prihatin dengan rakyatnya.

Menurutnya, sebelum ini baginda sultan sering membantu rakyat terutama menerusi KMJ dan tidak mustahil baginda boleh bertemu orang ramai pada bila-bila masa.

Semalam, Sultan Ibrahim mencemar duli dan bersarapan di Restoran Ansari di Jalan Maharani di sini, tanpa sebarang protokol. Baginda yang memakai baju kemeja petak dan seluar slack berjalan masuk ke restoran itu lalu memesan roti canai.

Baginda turut memakai songkok berlilit putih, tanda baginda masih berkabung atas kemangkatan anakandanya, Tunku Laksamana Johor Tunku Jalil.

Menerusi laman rasmi Facebooknya yang dimuat naik jam 7 pagi semalam, baginda kelihatan cukup ceria apabila dapat bersarapan bersama rakyat Johor yang turut berada dalam restoran itu.

Difahamkan, baginda turut membelanja semua pelanggan dengan membayar harga makanan dan minuman mereka.

Tindakan baginda itu mendapat komen positif daripada orang ramai yang rata-rata memuji sifat baginda yang berjiwa rakyat.

Disiarkan pada: December 19, 2015 @ 8:17am
d