mutakhir

Lagi Vape dadah

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menjual 199 botol cecair vape yang dipercayai mengandungi dadah bernilai RM12,000 dalam operasi Op Vapor di Jalan Tanjung Tokong, di sini, petang kelmarin.

Dalam operasi jam 5 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menyerbu sebuah premis menjual vape serta cecair vape dan menahan suspek berusia 24 tahun untuk siasatan lanjut.

Ketua JSJN negeri Superintendan Guan Beng Kiang berkata, berdasarkan siasatan, cecair itu disyaki mengandungi dadah berikutan tiada sebarang maklumat ditemui pada botol.

Beliau berkata, tiada maklumat terperinci termasuk kandungan cecair selain kelulusan pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dari mana bekalan diperoleh.

“Hasil siasatan, kami percaya premis berkenaan sudah beroperasi sejak lapan bulan lalu dan semua botol dirampas untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti dari mana bekalan cecair itu diperoleh dan kita mengesyaki ada kandungan dadah di dalam cecair berkenaan yang dijual pada harga antara RM40 hingga RM80 sebotol.

“Suspek direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak kurang RM100,000 atau kedua-dua sekali,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Guan berkata, pihaknya memandang serius penggunaan cecair vape dipercayai mengandungi dadah dan beberapa premis lain dalam perhatian polis.

“Polis percaya kegiatan ini turut membabitkan sindiket selain mempunyai rangkaian luas.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi JSJN di talian 04-2221522 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2015 @ 5:10am
d