mutakhir

MBSA proaktif pastikan bebas iklan haram

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sentiasa proaktif dalam memastikan bandar raya ini bebas daripada iklan yang tidak mendapat kebenaran terutama iklan pinjaman wang tidak berlesen.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata, kesungguhan ini dizahirkan melalui operasi menanggalkan iklan tanpa kebenaran berkenaan dijalankan setiap hari oleh anggota penguat kuasa pada sesi pagi bermula jam 8 hingga 10 pagi dan petang dari jam 4 hingga 6 petang di setiap zon.

“Pada tahun ini sehingga November 2015 sebanyak 262,768 iklan tanpa kebenaran diturunkan pihak MBSA.

“Antara jenis iklan yang ditanggalkan adalah iklan jualan barangan dan perkhidmatan, sewa kenderaan, pinjaman wang dan sebagainya.

“Juster, MBSA ingin memberi amaran kepada pihak berkenaan supaya membuat permohonan dan mendapatkan permit untuk menggantungkan iklan terlebih dahulu kerana jika memasang iklan tanpa kebenaran boleh dikenakan kompaun mengikut Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, dalam pada itu, kompaun boleh dikenakan sehingga RM600 bagi setiap iklan yang ditampal atau digantung.

Menurutnya, jika ada sebarang pertanyaan atau aduan mengenai pemasangan iklan di kawasan MBSA boleh menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-55105133/1246 /1384.

Disiarkan pada: December 20, 2015 @ 5:15am
d