mutakhir

1,361 terima baju sekolah Adam & Hawa

Shah Alam: Seramai 1,361 murid dan pelajar menerima sepasang pakaian sekolah jenama Adam & Hawa sumbangan Balqis Textiles and Manufacturing Sdn Bhd (Balqis Textiles), di sini, semalam.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Mohammad Izhaar Syed Mohammad Sebir berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan bebanan ibu bapa yang kurang berkemampuan menjelang sesi baru persekolahan.

Katanya, sebanyak 1,500 set pakaian sekolah rendah dan menengah jenama Adam & Hawa disumbangkan kepada mereka.

“Untuk tahun ini, Balqis Textiles memperuntukkan 120,000 helai pakaian sekolah Adam & Hawa untuk disumbangkan di seluruh negeri bagi memudahkan golongan kurang bernasib baik memulakan persekolahan dengan lebih sempurna.

“Awal bulan ini, lebih 10,000 pasang pakaian sekolah disumbangkan kepada pelajar di Padang Terap, Kedah dan Bagan Datoh, Perak dan pada 28 Disember ini ia akan diedarkan kepada anak yatim dan asnaf di Negeri Sembilan.

“Kami bercadang meningkatkan jumlah sumbangan pada tahun depan kepada 200,000 helai pakaian persekolahan berikutan sambutan menggalakkan tahun ini,” katanya ditemui selepas Majlis Pelancaran dan Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah Jenama Adam & Hawa, di sini, semalam.

Adam & Hawa adalah produk pakaian seragam sekolah pertama keluaran Balqis Textiles yang dilancarkan Mei lalu.

Disiarkan pada: December 20, 2015 @ 5:16am
d