mutakhir

Reputasi UNITEN jadi pilihan

Oleh Hamizah Badiran

Terletak hanya empat kilometer (km) dari Putrajaya, kampus Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Jalan Kajang-Puchong sentiasa bersedia menyambut kedatangan pelajar yang ingin kecemerlangan dalam kerjaya dan kehidupan masa depan.

Mula beroperasi sepenuhnya sebagai universiti swasta pada 1 Jun 1997, UNITEN mengukir memori tersendiri sehingga mampu melahirkan ramai graduan cemerlang.

Sejarah UNITEN bermula dari tahun 1976, iaitu tarikh penubuhan Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS) yang memberikan latihan kepada pekerja Lembaga Letrik Negara (LLN) ketika itu.

Pada 13 Oktober 1994, ILSAS ditranformasikan kepada Institut Kejuruteraan Teknologi Tenaga Nasional (IKATAN) dengan menawarkan kursus di peringkat diploma dan ijazah.

Mulai 1 Jun 1997, IKATAN yang dinaikkan taraf sebagai UNITEN menawarkan pendidikan berkualiti di peringkat ijazah kepujian iaitu tiga dalam bidang kejuruteraan dan dua dalam bidang pengurusan perniagaan.

Kursus itu ialah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal, Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Sarjana Muda Sains Teknologi Maklumat, Sarjana Muda Perakaunan dan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan).

Tidak terkecuali, kini program Asasi dalam bidang kejuruteraan, perakaunan, kewangan, sains komputer dan pengurusan perniagaan turut ditawarkan.

Sehingga September lalu, jumlah pelajar yang direkodkan UNITEN seramai 12,093 orang. Dari jumlah itu, 11,387 ialah pelajar tempatan. Jumlah graduan (2002-2014) yang dilahirkan pula adalah seramai 19,254.

Disiarkan pada: December 20, 2015 @ 5:18am
d