mutakhir

Akhirnya pergi...

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: “Akhirnya, kami hilang dia yang menjadi tempat bergantung selama ini,” kata Ismail Ahmad, 66, bapa kepada Mohamad Shahriduwan, 24, yang parah ditembak di Narathiwat, Selatan Thailand, Isnin lalu.

Mohamad Shahriduwan meninggal dunia jam 8 malam, kelmarin waktu tempatan selepas lima hari menerima rawatan di Hospital Narathiwat.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya Salehah Sudin, 38, atau Phochanee Pachara (nama Thailand) dan ahli keluarga lain.

Jenazahnya dibawa pulang ke Kampung Kedai Buloh, di sini dan tiba untuk pengebumian jam 12.30 tengah hari semalam.

Menurut Ismail, sepanjang anak kesembilan daripada 10 beradik itu dirawat, mereka sekeluarga tidak putus berdoa supaya dia sedar daripada koma dan pulih, walaupun mungkin mengambil masa lama.

“Besar harapan kami untuk melihat dia kembali membuka mata, namun takdir Allah SWT, tiada siapa yang dapat menghalang.

“Saya reda dengan ketentuan ini meskipun terlalu sedih kerana arwah anak yang baik dan banyak berjasa untuk keluarga. Dia tempat bergantung kami sekeluarga.

“Harapan saya supaya pihak berkuasa menyiasat kes ini dengan baik dan menahan segera suspek yang menyebabkan kematian anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang rakyat Malaysia parah, manakala isterinya warga Thailand yang berasal dari daerah Yingo, Narathiwat cedera ditembak di jalan raya Narathiwat-Takbai dekat Kampung Kaluwa, daerah Muang Narathiwat jam 5 petang, 14 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Muang Narathiwat Kolonel Polis Manit Yimsai dilaporkan berkata, pasangan itu dalam perjalanan dari Takbai untuk pulang ke rumah isteri apabila diserang dari kereta.

Manit berkata, isteri Mohamad Shahriduwan yang memandu kereta ketika itu berjaya mengawal kenderaannya dan seterusnya melanggar kereta suspek hingga terbalik, namun mereka dapat melarikan diri.

Beliau berkata, isteri mangsa terus memandu kereta hingga sampai di Hospital Narathiwat untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Salehah ketika ditemui kelihatan sugul dan masih bersedih dengan kehilangan suami tersayang.

“Kami baru tujuh bulan berkahwin, namun dia pergi meninggalkan saya. Ternyata Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2015 @ 5:20am
d